Thursday, November 7, 2013

GST perlu diterang secara jelas


Publication: HM
Date of publication: Nov 7, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 038

Kuala Lumpur: Rakyat perlu diberi penerangan supaya mereka benar-benar faham terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 bagi mengatasi ketakutan rakyat apabila berdepan situasi berkenaan.

"Banyak diperkatakan mengenai kebaikan dan keburukan GST. Namun, keputusan kerajaan adalah mengambil kira pandangan progresif terhadap GST," kata Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menurutnya, pelbagai artikel mengenai GST boleh diakses masyarakat dan pemilihan tarikh 1 April 2015 adalah masa terbaik untuk ia dilaksanakan.

"GST menjadi sistem percukaian yang telus dan komprehsensif yang menutup lubang dari mereka yang mengelak membayar cukai. Saya tahu semua orang takut, tetapi penerangan demi penerangan akan menghilang ketakutan itu," katanya.

Katanya, kerajaan melakukan apa yang harus dijalankan dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan memastikan golongan sederhana serta berpendapatan rendah terus dilindungi.

Cadangan Ahmad Fauzi itu turut disokong Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bangkit untuk menyokong.

"Saya menyokong program penerangan ini dijalankan dalam memberi permahaman rakyat. Malah, pelaksanaan GST mampu mengecilkan defisit dan menambah pendapatan negara," katanya.

Pada sesi perbahasan itu, Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) menyatakan sokongan kepada pelaksanaan GST, tetapi memberi cadangan pungutan cukai itu mesti dikongsi dengan kerajaan negeri secara 50-50.

Turut bangun menyokong Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang berkata, sesi penerangan perlu dilakukan kerana masyarakat di negara ini masih tidak jelas mengenai GST.

"Kerajaan seharusnya mewujudkan laman sesawang yang lengkap untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan mengenai GST.

"Saya faham sistem GST adalah terbaik tertapi kerajaan tidak mahu ia menyusahkan dan membebankan rakyat. Justeru, kerajaan perlu menggunakan pelbagai agensi untuk memberi penjelasan," katanya.

No comments:

Post a Comment