Thursday, November 21, 2013

GST: Kerajaan tidak berlaku adil kepada rakyat


Harakahdaily, 26 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014 itu untuk menambah peruntukan kepada keselamatan, namun tidak ada sebarang langkah khusus untuk mengatasi masalah rasuah yang berleluasa.

Beliau juga menyelar tindakan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akhirnya akan menyusahkan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Malaysia seperti yang kita ketahui dilabel sebagai juara dunia dalam rasuah oleh media barat dan Transparency International, persoalannya kini mengapa tidak ada inisiatif baru ke arah membendung rasuah,” katanya dipetikRoketkini.

Tambahnya, GST pula akan membebankan golongan pertengahan dan miskin negara. 

“Di Malaysia, hanya enam peratus penduduk membayar cukai dan hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan GST jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah berlaku adil kepada rakyat malah cuba untuk menyukarkan lagi kehidupan mereka.

“Mereka bukan sahaja melaksanakan GST pada April 2015, tapi turut menghapuskan subsidi gula. Pada saya ini bukannya langkah sesuai untuk berjimat,” tegasnya.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula menegaskan, GST sebenarnya tidak membantu ekonomi negara tetapi akan membawa bencana pada ekonomi.

“Belanjawan 2014 ini ternyata tidak mempunyai idea-idea baru tetapi hanya meneruskan model ekonomi yang diamalkan BN sejak dulu.

“Apa yang baru ialah GST, ia sebenarnya tidak membantu ekonomi kita secara keseluruhan, ianya akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi.

“Apabila golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli ia akan menyebabkan berlaku ‘domestic consumption’ lebih rendah dan dengan itu akan menyebabkan kemelesetan,” ujarnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula menyatakan pelaksanaan GST sama sekali tidak diperlukan di Malaysia.

“Saya sudah menjangkakan GST akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU), jika mereka lakukan sebelum PRU ia akan membawa masalah kepada mereka, jadi mereka laksanakan sekarang.

“Kami sudah berkali-kali menentang GST ini, ianya sama sekali tidak diperlukan. Walaupun mereka meningkatkan kutipan hasil tetapi perbelanjaan tetap terus naik.

“Saya juga tertanya mengapa tidak ada sebarang langkah diambil untuk mencegah ataupun membasmi ketirisan, pembaziran dan rasuah di dalam sistem kerajaan sedia ada,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment