Thursday, November 7, 2013

GST dapat bendung ketirisan


Publication: BH
Date of publication: Nov 7, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Ahmad Fiesal Othman; Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dapat membendung pelbagai ketirisan di sepanjang rantaian bekalan pengeluaran barangan, sekali gus membolehkan kerajaan mengutip cukai lebih tinggi dalam jangka panjang.

Penasihat Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Zaleha Hamzah, berkata keadaan itu berlaku adalah disebabkan kedudukan GST sebagai sebuah sistem percukaian yang bersifat `self policing' atau peraturannya dikawal sendiri.

Sebagai contoh katanya, cukai jualan yang digunakan sebelum ini menyaksikan pengilang yang tidak termaktub dengan kadar boleh dicukai, sama sekali tidak akan mendaftarkan diri mereka ke dalam sistem percukaian.

"Golongan berkenaan jika boleh mahu terus kekal dikategorikan sebagai pengilang kecil kerana mereka tidak mahu membayar cukai jualan. Tiada sebarang insentif untuk mereka tampil mendaftar.

Pendaftaran sukarela

"Namun, di bawah GST ia berlainan sama sekali. Menerusi GST, golongan terbabit akan tampil kerana kita ada menyediakan peruntukan bagi pendaftaran sukarela untuk golongan yang tidak termaktub di bawahGST, iaitu syarikat yang mencatatkan jualan di bawah RM500,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas taklimat GST oleh Jabatan Kastam kepada pengurusan kanan kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di Balai Berita, di sini, semalam.

Antara yang hadir pada taklimat yang turut disertai pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Pasukan Petugas Khas GST itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali.

Zaleha berkata, berdasarkan anggarannya, kerajaan berupaya meraih hasil antara 20 hingga 25 peratus lebih tinggi dalam jangka panjang susulan pelaksanaan GST, berbanding sistem cukai jualan yang digunakan sekarang.

Kutip 90 peratus cukai

"Kami menganggarkan di bawah sistem cukai jualan, kerajaan hanya mengutip 70 peratus (daripada nilai sebenar cukai yang patut dibayar) atau mungkin 80 peratus. Namun, menerusi GST kerajaan berupaya mengutip sehingga 90 peratus," katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman negara lain yang melaksanakan GST, secara puratanya terdapat 40 peratus syarikat yang tidak termaktub dengan GST mendaftar secara sukarela di bawah sistem percukaian berkenaan.

Katanya, ini disebabkan syarikat terbabit boleh mendapatkan balik cukai input manakala syarikat yang berskala besar hanya akan berminat untuk berurus niaga dengan syarikat yang berdaftar dengan sistemGST.

"Itulah keistimewaan GST yang tidak terdapat di bawah cukai jualan memandangkan di bawah sistem cukai jualan, syarikat seboleh-bolehnya tidak mahu mendaftar namun sebaliknya dengan GST mereka secara sukarela berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, GST perlu dilaksanakan segera kerana kerajaan sudah mengadakan tempoh rundingan yang mencukupi bersama industri sejak beberapa tahun yang lalu.

"Satu-satunya perkara ialah dari segi pengguna kerana mereka kurang memahami apakah itu GST. Disebabkan itu, kita ada tempoh 17 bulan untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut kepada pengguna mengenai GST, iaitu sistem cukai ini akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang digunakan sekarang ini.

"Kebanyakan pengguna tidak tahu mereka membayar cukai jualan sebelum ini sebagai contoh baju yang dipakai, peralatan isi rumah dan sebagainya semuanya dikenakan cukai jualan yang tanpa kita sedar," katanya.

Lebih telus

Beliau berkata, GST adalah lebih cekap, berkesan serta telus kerana pengguna sendiri akan mengetahui jumlah cukai yang mereka bayar untuk mendapat produk atau barangan.

"Bila pergi ke kedai dan membeli barang, anda akan diberikan invois yang akan menyatakan jumlah cukai sebenar yang dibayar, jadi penjual tidak dapat menipu," katanya.

No comments:

Post a Comment