Thursday, November 7, 2013

GST bawa keuntungan jangka masa panjang


6 November 2013

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 dilihat dapat membawa keuntungan kepada rakyat serta negara bagi jangka masa panjang.

Justeru, anggota Parlimen Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) meminta kerajaan supaya lebih agresif untuk membetulkan persepsi negatif yang ditimbulkan pihak tertentu terhadap GST.

"Pelaksanaan GST amat diperlukan untuk memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Saya mencadangkan supaya kerajaan dan agensi terlibat turun padang untuk memberi maklumat tepat tentang GST.

"Untuk makluman, ramai orang awam tertanya-tanya apakah itu GST, barangan apakah yang akan dikenakan GST ini dan selepas pelaksanaan GST adakah harga barangan akan naik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Wee menarik perhatian pelaksanaan GST itu juga dapat mengurangkan kebergantungan pendapatan cukai langsung dan petroleum sambil memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai persendirian dan korporat yang akan merangsang ekonomi negara.

Wee turut meminta kerajaan mempertimbangkan supaya kadar pelaksanaan GST itu dimulakan dengan kadar empat peratus terlebih dahulu yang kemudiannya tahun demi tahun dinaikkan secara berkala supaya dapat mendidik rakyat mengenai GST.

Sementara itu, pelaksanaan GST juga disokong ahli Parlimen pembangkang Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam).

Namun beliau mahu pelaksanaannya ditangguhkan sehingga negara memenuhi lima syarat, antaranya pelaksanaan gaji minimum di seluruh negara dan sehingga sekurang-kurangnya 50 peratus daripada populasi pekerja di negara ini membayar cukai pendapatan.

Katanya hanya 14 peratus saja populasi pekerja yang membayar cukai pendapatan buat masa ini.

"GST juga perlu ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 50 peratus syarikat swasta membayar cukai pendapatan korporat kerana kini hanya 21 peratus saja yang membayarnya," katanya.

"Selain itu, hasil pungutan GST mesti dikongsi bersama dengan semua kerajaan negeri dan kerajaan tempatan supaya mereka boleh membangunkan negeri masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, anggota Parlimen BN Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim dalam sesi perbahasan meminta supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) diisytiharkan sebagai Universiti Diraja UiTM.

Irmohizam berkata menerusi pengisytiharan itu dapat menghentikan campur tangan mana-mana pihak daripada menggugat kewujudan UiTM dan menjamin UiTM terus kekal sebagai institusi pengajian tinggi yang khusus untuk mendidik golongan bumiputera sekali gus menjaga keharmonian negara ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment