Thursday, November 21, 2013

GST: Bagaimana ia bebankan rakyat?


Harakahdaily, 15 Nov 2013

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pada 2015 semakin tersasar perdebatannya.

Masalah terbesar GST pada rakyat awam, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana ialah mereka terpaksa membayar untuk kos lebihan yang ditanggung oleh golongan pengilang, pemborong dan peniaga.

Mudahnya, apabila sesuatu barang atau produk semudah roti dikeluarkan, kerana GST, kos penghasilan roti akan meningkat.

Tarif elektrik yang dikenakan GST, kos pengangkutan yang dikenakan GST, perkhidmatan penyeliaan mesin-mesin yang membuat roti dikenakan GST, pencetakan pembalut roti dikenakan GST dan sebagainya.

Apakah pengeluar akan 'menelan' kos tambahan ini?

Sudah tentu tidak. Maka caranya ialah meningkatkan harga roti untuk menampung kos yang semakin meningkat tersebut.

Siapa yang membayar untuk roti harga tinggi?

Tentulah para pengguna, yang rata-rata terdiri daripada golongan yang tersepit dengan kekangan ekonomi kehidupan.

Yang membezakan harga akhir roti hanyalah tempat di mana roti tersebut dibeli.

Jika ia dibeli di pasaraya, bayarlah enam peratus sebagai cukai GST untuk pendapatan kerajaan. 

Jika beli di kedai runcit, bayarlah pada harga roti asal tapi sudah dinaikkan harganya.

Yang membeli di kedai runcit, kerajaan akan kata lihat GST tidak terkena pada para pembeli roti di sana.

Walhal, para pembeli sana membayar harga roti yang sudah termasuk kos pengeluaran yang bertambah hasil daripada GST.

Ini baru roti. Lihatlah semua perkara yang lain, termasuk perubatan.

Itulah masalahnya pada GST.

No comments:

Post a Comment