Thursday, November 28, 2013

BN laksana had jangka hayat kereta untuk kutip cukai GST


(Oleh Norasikin Samsi)

KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER: Barisan Nasional dipercayai mahu melaksanakan had jangka hayat kereta bertujuan bagi mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksana.

Ini berikutan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam yang dipetik berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat”.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta hampir dibuat.

“Saya dan pimpinan KEADILAN mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini yang turut disertai Timbalan Ketua Penerangan dan Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sim Tze Tzin dan Darell Leiking.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, alasan dasar ini perlu dilaksana kerajaan demi keselamatan rakyat di jalan raya tidak boleh diterima akal.

“Kenyataan ini nampak dangkal tanpa bukti kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku disebabkan kenderaan berusia lebih 12 tahun. Sampai sekarang tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal menunjukkan risiko kereta berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta berusia 11 tahun,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan pelbagai faktor lain yang dikatakan mempengaruhi kemalangan antaranya seperti keadaan jalan raya tidak selamat, papan tanda mengelirukan, sikap pemandu tidak berwaspada, dan lain-lain sebagai alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan pengguna sebagai remeh dan tidak ikhlas.

“Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta baru atau terpakai akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta bermakna lebih banyak GST yang akan dikutip kerajaan,” jelas beliau menggesa kerajaan menjawab segera isu ini.

Katanya, dengan pelaksanaan dasar ini, majoriti 52 peratus rakyat yang mengundi Pakatan terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56770

No comments:

Post a Comment