Monday, November 4, 2013

Bajet 2014 tangani dua isu


Publication: BH
Date of publication: Nov 4, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 003
Byline / Author: Oleh Rita Benoy Bushon

Bajet 2014 yang dibentangkan baru-baru ini secara keseluruhannya telah menangani beberapa isu antaranya keperluan bagi reformasi fiskal dan isu kenaikan harga rumah.

Kami melihat langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan GST sebagai langkah yang sangat positif selaras dengan sasaran untuk mengurangkan defisit bajet negara.

Kami berharap apabila GST dikuatkuasakan kelak pada 1 April 2015 iaitu 17 bulan dari sekarang, isu-isu pelaksanaan dan lain-lain isu yang mungkin dihadapi pada peringkat awalnya telah dapat diselesaikan. Ini dapat memastikan pencapaian sasaran jangka panjang untuk meluaskan asas perolehan negara.

Kami juga mengalu-alukan pengurangan kadar cukai individu dan korporat sebagai langkah permulaan yang positif walaupun kecil. Struktur cukai sesebuah negara adalah perkara penting yang akan diambilkira oleh syarikat-syarikat yang hendak memulakan perniagaan di negara itu.

Sebagai perbandingan, kita masih berada di belakang Singapura di mana kadar cukainya adalah di antara yang terbaik di rantau ini, dengan cukai korporat pada kadar 17 peratus manakala bagi individu pula adalah cukai progresif pada kadar maksimum 20 peratus, walhal GST pula adalah pada kadar tujuh peratus.

Sasaran untuk mengurangkan defisit bajet daripada empat peratus pada tahun ini kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2014, dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada 2020 adalah kritikal. Memastikan peruntukan bajet ini dipatuhi dan tiada bajet tambahan adalah penting.

Bajet 2014 juga menunjukkan kerajaan prihatin dan mendengar rintihan rakyat dengan menangani isu rumah mampu milik dan harga rumah yang melambung tinggi melalui kenaikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan melupuskan 'Developer Interest Bearing Scheme' (DIBS).

Imbangi pasaran hartanah secara realistik

Bagaimanapun, mencapai satu tahap yang seimbang dalam sektor hartanah memang sukar kerana sektor ini mempunyai kesan pengganda yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada pandangan kami, langkah-langkah pengetatan perlu diambil bagi mengimbangi pasaran hartanah secara realistik.

Pengukuhan urusan fiskal sebagai teras utama juga adalah langkah yang sangat positif pada pandangan kami. Sehubungan ini, penubuhan Unit Pengurusan Integriti di setiap kementerian adalah langkah yang baik untuk meningkatkan pematuhan prosedur yang ditetapkan, memandangkan kebocoran dan rasuah boleh mengakibatkan usaha positif disia-siakan.

Juga untuk julung kalinya intipati bajet merangkumi langkah-langkah untuk mempromosikan hal-hal berkaitan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui satu dana yang akan ditubuhkan untuk tujuan ini.

Indeks ESG Malaysia ini adalah satu langkah tepat untuk mempromosikan amalan ESG yang baik dan menyerlahkan kepentingan aspek ini kepada syarikat-syarikat tersenarai di Malaysia di mana pelabur institusi boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan.

Dana ini akan dilaburkan ke dalam syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemapanan yang tinggi termasuk ciri-ciri keterangkuman seperti diversiti dari segi gender, umur dan etnik.

Namun pelaksanaannya mungkin sedikit mencabar kerana perlu mempunyai jumlah syarikat yang mencukupi serta mempunyai aspek kecairan untuk menarik minat para pelabur dan pengurus dana. Metodologi penyaringan yang telus dan pemeriksaan teliti bagi memastikan kebolehlaksanaan indeks itu di Malaysia perlu ada.

MSWG telah melakukan kajian awal dan 'back-testing' ke atas 40 syarikat terbaik bagi Indeks Tadbir Urus Korporat ASEAN untuk tiga tahun yang lepas sejak 2010 dan mendapati indeks tersebut telah mengatasi penanda aras indeks MSCI ASEAN secara ketara. Ini menunjukkan bahawa tadbir urus korporat boleh membawa kepada arus perubahan positif di ASEAN, lebih-lebih lagi di Malaysia.

OPR dijangka meningkat

Namun begitu, langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi boleh menimbulkan kebimbangan mengenai kadar inflasi. Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara bagi tahun-tahun akan datang juga dijangka akan meningkat.

Pelaksanaan secara efektif adalah sangat penting, dan memandangkan rekod prestasi sebelum ini, kerajaan perlu memantau unit-unit pelaksanaan secara lebih teliti.

Butiran terperinci mengenai projek yang mempunyai 'kesan pengganda rendah dan kandungan import tinggi' juga tidak diperjelaskan mengenai penangguhan.

Secara keseluruhannya, kami memandang positif bajet tahun ini, dan kerajaan perlu tegas dalam mematuhi langkah-langkah fiskal dan penjimatan yang dicadangkan. Begitu juga pengauditan ke atas projek yang melebihi RM100 juta semasa pelaksanaan projek itu.

Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih penting dalam membanteras rasuah dan mengatasi kebocoran serta juga menangani pengurusan sumber manusia.

Kami melihat perkembangan baik dari segi perolehan kerajaan yang meningkat lebih pantas (sebanyak 1.7 peratus kepada RM224 bilion) berbanding perbelanjaan operasi kerajaan (0.7% kepada RM218 bilion), yakni berada pada trajektori yang betul.

* Penulis ialah Ketua Eksekutif Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd (MSWG)

No comments:

Post a Comment