Thursday, November 21, 2013

Antara kos sara hidup, kenaikan cukai DBKL


Publication: BH
Date of publication: Nov 20, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: Oleh Razak Rashid Ghows

Sejak seminggu dua lalu, isu mengenai notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menaikkan kadar cukai taksiran mulai 1 Januari 2014 heboh diperkatakan oleh orang ramai.

Kadar kenaikan antara 70 hingga 300 peratus itu dianggap sebagai tidak munasabah dan menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan warga kota.

Dalam keadaan di mana kos sara hidup semakin mencengkam, kehidupan di kota besar seperti Kuala Lumpur, DBKL pula mengeluarkan notis untuk menaikkan cukai pintu.

Orang ramai berpendapat adalah aneh DBKL ingin menaikkan cukainya sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika pembentangan Bajet 2014 lalu mengumumkan pengurangan cukai pendapatan bagi meringankan beban rakyat serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 2015.

Rata-rata penduduk di sekitar bandar raya Kuala Lumpur berasakan kenaikan yang begitu tinggi itu adalah tidak adil manakala tempoh bantahan selama dua minggu tidak mencukupi.

Syor tangguh cadangan

Beberapa pihak termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), persatuan penduduk dan orang perseorangan mahukan DBKL menangguhkan cadangannya itu sehingga pertemuan diadakan dengan wakil penduduk.

Ramai juga yang tidak setuju dengan cara pelaksanaannya dan berharap DBKL akan bersikap lebih terbuka dalam hal ini.

Penaung Persatuan Penduduk Taman Koperasi Polis Fasa Satu, Datuk Kamaruddin Hamzah berpendapat DBKL kena mengadakan pertemuan dengan penduduk terlebih dulu bagi mendapatkan maklum balas sebelum melaksanakan cadangan itu.

"Perdana Menteri juga sentiasa menemui orang awam dalam pelaksanaan programnya. Adalah menghairankan bagaimana pihak berkuasa tempatan yang besar seperti DBKL tidak mengadakan pertemuan ini," katanya.

Kenaikan tak setimpal

Beliau juga berkata, adalah tidak wajar jika cukai pintu dinaikkan berikutan kenaikan nilai hartanah.

"Sebahagian besar penduduk di Kuala Lumpur menduduki sendiri rumah yang mereka beli dan sudah tentunya kenaikan nilai hartanah tidak ada kesannya bagi mereka.

"Adalah tidak adil sekiranya kenaikan cukai pintu dikenakan kerana wujudnya golongan spekulator yang membeli rumah untuk menjualnya dengan harga lebih tinggi," kata seorang penduduk.

Justeru, mereka mendapati kenaikan cukai pintu yang begitu tinggi itu juga tidak setimpal dengan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan berkenaan berdasarkan keadaan semasa.

Pada masa sama, kebanyakan warga kota berharap DBKL dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sebelum mengeluarkan sebarang cadangan untuk menaikkan kadar taksiran.

Sesetengah kawasan perumahan kini masih belum dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan seperti dewan, surau atau masjid dan pusat rekreasi sempurna. Ada juga kawasan tertentu di mana kebersihannya diabaikan manakala jalan raya pula tidak diselenggara dengan baik.

Penubuhan sebuah jawatankuasa bersama yang dianggotai penduduk sebagai mana terkandung dalam ucapan Perdana Menteri ketika beliau membentangkan Bajet 2014 adalah langkah yang baik dalam usaha menghubungkan warga kota dengan pihak berkuasa tempatan.

Apapun, adalah menjadi harapan penduduk di bandar raya ini agar DBKL menangguhkan kenaikan cukai taksiran itu sehingga diadakan perbincangan dengan semua wakil persatuan penduduk, seperti dilakukan dengan wakil rakyat esok.

No comments:

Post a Comment