Monday, November 18, 2013

AEON Big sasar sejuta kad keahlian setahun


ARKIB : 15/11/2013
Leong Zi Ting (kiri) dan Chang Pui Yee Michele (kanan) menunjukkan kad
keahlian AEON Big terbaharu pada majlis pelancaran kad tersebut di Kuala Lumpur,
semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 14 Nov. - Pengendali pasar raya terkenal dari Jepun, AEON Big (M) Sdn, Bhd. (AEON Big) menyasarkan untuk memperoleh sejuta kad keahlian setelah setahun kad itu diperkenalkan di negara ini, bermula hari ini.

AEON Big kini mempunyai 28 buah cawangan di seluruh negara.

Pengarah AEON Big, A. Rahman Adam berkata, pihaknya menjangkakan sambutan yang baik dalam kalangan pengunjung setia pasar raya tersebut dengan pengenalan kad keahlian tersebut.

Katanya, pengenalan kad tersebut dijangka meningkatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga hingga lapan peratus, sebulan.

"Setiap pembelian RM1 akan memberi pengumpulan satu mata untuk pemegang kad keahlian. Malah, pemegang kad juga bakal menerima manfaat diskaun bagi barangan terpilih,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kad keahlian AEON Big di sini hari ini.

Yang hadir pada majlis pelancaran itu ialah Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON Co. Ltd., Nagahisa Oyama dan Pengarah Bersama AEON Big (M) Sdn. Bhd., Mitsuru Nakata.

Ketika ditanya perancangan AEON Big untuk meluaskan pasaran di negara ini, kata A. Rahman, pihaknya sedang mengintai peluang untuk membuka pasar raya tersebut di luar Lembah Klang.

Katanya, pemilihan lokasi bukan setakat di dalam Lembah Klang, sebaliknya AEON Big mahu berkembang ke seluruh negara.

"Sebanyak tiga buah pasar raya AEON Big akan dibuka setahun dan syarikat turut merancang untuk menembusi pasaran Malaysia Timur setelah mengukuh di Semenanjung,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai impak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap AEON Big dan para pelanggan yang akan dilaksanakan pada 2015, kata Oyama, pihaknya kini dalam proses membuat persiapan bagi menghadapi pelaksanaan cukai itu.

Katanya, pihaknya di Jepun sudah berpengalaman dalam pelaksanaan GST dan meyakini untuk menerima pelaksanaannya di Malaysia dengan mudah dan lancar.

"Kami tidak merasakan bahawa berlaku impak besar terhadap para pelanggan dan juga operasi syarikat, sebaliknya kami sudah mempunyai pengalaman pelaksanaan cukai seperti itu di Jepun,'' ujarnya.

Nakata pula memberitahu, setakat ini, AEON Big cawangan Wangsa Maju merupakan penyumbang jualan tertinggi kepada syarikat dan dikunjungi paling ramai pelanggan.

Setiap bulan, sebanyak tiga hingga empat juta pelanggan dicatatkan berkunjung ke seluruh 28 cawangan AEON Big di negara ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment