Friday, October 18, 2013

Tumpu golongan pertengahan


Oleh Fairus kassim
ekonomi@utusa.com.my

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Bajet 2014 diharapkan lebih memihak kepada golongan pertengahan yang sebelum ini kurang mendapat tempat dalam bajet 2013 dari segi mengurangkan bebanan kos hidup.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar berkata, antara yang boleh dipertimbangkan dalam bajet kali ini adalah pengurangan harga kereta dan cukai individu.

"Memang tidak dapat dinafikan insentif ini akan menambah kos yang banyak kepada kerajaan, tetapi ini adalah cara terbaik membantu golongan tersebut.

"Golongan pertengahan juga perlu sokongan asas daripada kerajaan untuk membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik seperti mana golongan bawahan terima pada Bajet 2013," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Syed Hafiz berkata, dalam masa yang sama rakyat juga perlu faham jika penurunan harga kereta dilaksanakan pastilah pendapatan kerajaan berkurangan.

Sehubungan itu kerajaan mungkin akan melihat untuk mengurangkan lagi subsidi minyak dalam mengimbangi pendapatan negara.

"Pilihan perlu dibuat antara satu iaitu antara harga kereta atau harga minyak. Kedua-dua tidak boleh dilaksanakan secara serentak.

"Pada saya, suatu hari nanti negara perlu bergerak kepada dasar jangka hayat kenderaan untuk mengimbangi industri," jelasnya.

Bagi mengurangkan cukai individu, jelas beliau, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah cara terbaik setakat ini untuk mengimbangi pendapatan kerajaan.

"Bagi saya GST lebih adil. Mereka yang kerap berbelanja perlu dikenakan cukai berbanding sistem sekarang ini.

"Saya harap bajet 2014 akan menyentuh pengurangan cukai individu," ujarnya.

Tambah beliau lagi, jumlah pekerja asing yang kini melebihi dua juta orang juga perlu dikurangkan bagi memberi lebih peluang kepada penduduk tempatan.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment