Thursday, October 24, 2013

Struktur dasar fiskal perlu pembaharuan


2013/10/24 - 05:06:27 AM 

Adrian Mowat (kiri) dan Christopher Eoyang
Langkah jamin pertumbuhan ekonomi berterusan

Pembaharuan berstruktur dasar fiskal kerajaan seperti pengenalan asas percukaian lebih meluas adalah mustahak bagi mengekalkan daya tahan serta kemampanan pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata ahli ekonomi antarabangsa. 

Ketua Strategi Ekuiti Pasaran Sedang Membangun dan Asia JP Morgan Asia Pasifik, Adrian Mowat, berkata Malaysia yang kekal sebagai antara ekonomi terpenting rantau ASEAN dalam kalangan pelabur antarabangsa memerlukan pembaharuan sedemikian bagi menjamin pertumbuhan berterusan. 

"Malaysia adalah antara ekonomi ASEAN paling kukuh. Ekonominya diunjurkan berkembang lima peratus pada tahun ini dan berkemungkinan besar enam peratus pula pada 2014” Adrian Mowat, Ketua Strategi Ekuiti Pasaran Sedang Membangun dan Asia JP Morgan Asia Pasifik

“Malaysia adalah antara ekonomi ASEAN paling kukuh. Ekonominya diunjurkan berkembang lima peratus pada tahun ini dan berkemungkinan besar enam peratus pula pada 2014.

“Kadar pertumbuhan sedemikian adalah sangat bergantung kepada pembaharuan berstruktur, dengan memastikan nilai tambah dimasukkan ke dalam ekonominya untuk jangka sederhana dan panjang. 

“Bagi mencapai pertumbuhan, kerajaan mesti melaksanakan dasar fiskal yang lebih pintar dan berdaya saing,” katanya ketika menjadi panel sesi bertajuk Tinjauan Pasaran 2014 pada Simposium Pasaran Modal Asia (WCMS) di Kuala Lumpur, semalam. 

Perkukuh hasil pendapatan 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan beberapa langkah penyusunan semula dasar fiskal untuk mengekal serta menambah baik daya saing negara dari segi pertumbuhan dan daya tarikan pelaburan ketika pembentangan Bajet 2014 esok.

Antaranya ialah menerusi pembaharuan dasar fiskal yang akan menyaksikan beberapa langkah baru dijangka diperkenalkan, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kajian semula Cukai Keuntungan Hartanah dan pelarasan tarif elektrik. 

Mengulas lanjut, Mowat berkata, tumpuan paling utama kepada kerajaan dalam tempoh terdekat ini adalah mengukuhkan terlebih dulu hasil pendapatannya.

Katanya, bagi tujuan itu pengenalan sistem percukaian yang lebih meluas, terutama menerusi pengenalan GST adalah sangat kritikal untuk memastikan terdapatnya lebihan akaun yang wajar untuk menyokong pelbagai kegiatan ekonomi negara pada masa depan.

“Pengenalan cukai progresif sedemikian adalah sangat mustahak. Begitu juga firma besar seperti PETRONAS mesti memastikan yang mereka mempunyai kantung yang cukup besar untuk menampung aktiviti pelaburannya,” katanya.

Tingkat perbelanjaan R&D

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Bersama Kumpulan Portfolio Strategi Asia Pasifik Goldman Sachs Singapore, Christopher Eoyang, berkata rata-rata ahli ekonomi yakin dengan tinjauan pertumbuhan Malaysia untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan sokongan eksport global yang dijangka kembali pulih pada tahun depan.

“Tumpuan terdekat kepada Malaysia adalah dari segi cabaran menangani kumpulan kelas pertengahannya yang sangat besar, khususnya dalam usaha negara ini mencapai sasaran pendapatan perkapita AS$15,000.

“Bagi mengimbangi cabaran itu, adalah penting supaya Malaysia kembali kepada asas pendidikan untuk memajukan modal insan serta hak intelek lebih berkualiti memandangkan secara demografinya negara ini adalah dinamik.

“Kerajaan juga perlu mengambil kira meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membangunkan modal insan serta hak intelek sedemikian,” katanya.

Pada masa sama, katanya masanya sudah tiba supaya penanda aras bagi ekonomi Malaysia ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment