Thursday, October 24, 2013

Reformasi fiskal perlu diperhebatkan


Publication: BH
Date of publication: Oct 23, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 007
Byline / Author: Oleh Zulkifli Hamzah

Berikutan pelarasan subsidi bahan api yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen awal bulan lalu, rakyat harus bersiap sedia untuk menghadapi langkah pengurangan belanja fiskal.

Program pengurangan belanja fiskal sedang diperhebatkan. Baru-baru ini, harga rokok dinaikkan antara RM1.50 dan RM1.60 sekotak berikutan kenaikan cukai eksais tembakau.

Antara langkah seterusnya yang mungkin diumumkan dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kajian semula Cukai Keuntungan Hartanah dan pelarasan tarif elektrik.

Langkah ini bukan lagi spekulasi, tetapi hanya menunggu masa untuk menjadi realiti.

Sasaran defisit fiskal

Keperluan untuk mengurangkan perbelanjaan negara bagi mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015 adalah semakin mendesak.

Defisit fiskal dianggarkan pada kadar 4.5 peratus tahun ini, dan kerajaan menghadapi tekanan perbelanjaan berikutan harga minyak yang tinggi dan kenaikan kos pertahanan negara akibat pencerobohan di Sabah.

Kerajaan bagaimanapun mempamerkan iltizam yang tinggi untuk meneruskan reformasi fiskal awam demi memastikan kesinambungan kemantapan ekonomi Malaysia untuk generasi akan datang.

Matlamat dasar fiskal memerlukan kerajaan membelanjakan hasil cukai untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menaik taraf hidup rakyat.

Perangkaan menunjukkan sektor awam menyumbang kira-kira 22 peratus kepada KDNK negara setiap tahun sejak 2006.

Pergantungan kepada sektor awam untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagaimanapun adalah jauh lebih besar dan semakin meningkat kebelakangan ini.

KDNK negara tumbuh 5.6 peratus tahun lalu dengan 43.6 peratus dijana oleh sektor awam. Jika ditambah pula sumbangan tidak langsung, iaitu faedah subsidi, kenaikan gaji penjawat awam, dan sebagainya, pergantungan keseluruhan terhadap sektor awam untuk pertumbuhan ekonomi adalah jauh lebih tinggi.

Arah aliran ini tidak mungkin boleh berterusan kerana perbelanjaan sektor awam melebihi hasil pendapatan percukaian.

Defisit perbelanjaan ini ditampung oleh pinjaman. Mungkin ramai tidak sedar bahawa 2013 adalah tahun ke-16 Kerajaan Persekutuan merekodkan defisit.

Ruang untuk kerajaan meneruskan defisit ini sudah semakin sempit. Hutang dalam negara Kerajaan Persekutuan dihadkan oleh perundangan kepada 55 peratus daripada KDNK.

Pada akhir Jun lalu, hutang dalam negara Kerajaan Persekutuan mencecah RM492.8 bilion. Menjelang akhir tahun ini, hutang dalam negara itu dianggarkan bersamaan 52.5 peratus daripada nilai KDNK nominal semasa.

Stok hutang

Apa yang membimbangkan ialah perangkaan yang berkaitan dengan pembiayaan hutang Kerajaan Persekutuan. Sejak lima tahun yang lalu, kerajaan terpaksa membuat pinjaman baru bersih (iaitu selepas ditolak pembayaran balik hutang sedia ada) sebanyak lebih kurang RM40 bilion setiap tahun.

Ini bermakna, stok hutang negara akan bertambah sebanyak RM40 bilion setiap tahun jika arah aliran fiskal kerajaan berkekalan.

Jika hutang baru bersih meningkat RM40 bilion atau kira-kira lapan peratus setahun dan KDNK nominal negara hanya mampu tumbuh tujuh peratus setahun, nisbah hutang kerajaan kepada KDNK akan melepasi 55 peratus menjelang 2018.

Jika ekonomi negara mengalami kejutan luar, nisbah ini akan dibolosi lebih awal lagi. Ini bermakna, kerajaan terikat daripada membuat pinjaman baru pada kadar sedia ada melainkan KDNK tumbuh dengan lebih pesat.

Namun, peluang untuk KDNK tumbuh dengan lebih pesat terhalang oleh keadaan ekonomi antarabangsa yang semakin tidak menentu.

Potensi pertumbuhan sebenar negara pula dianggarkan hanya dalam lingkungan 4.5- 5.0 peratus, iaitu kadar perkembangan ekonomi ketika ini.

Jurang tabungan, pelaburan

Hakikatnya Malaysia sebagai sebuah negara tidak lagi menabung sebanyak dulu. Terdapat hubungan yang rapat di antara tabungan dan pertumbuhan ekonomi, dan ini jelas terbukti di beberapa buah negara Asia yang mempunyai kadar tabungan yang tinggi.

Kemajuan ekonomi Malaysia selama ini pun sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar pertumbuhan modal yang pesat, yang mana bergantung kepada kadar tabungannya yang tinggi.

Kadar tinggi ini membolehkan Malaysia membiayai pelaburan dalam negeri tanpa dibebani hutang yang besar dari luar negara.

Namun, dengan peningkatan aktiviti pembentukan modal oleh pihak swasta sealiran dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP), jurang antara tabungan dan pelaburan negara telah menyusut dengan mendadak kepada hanya 1.1 peratus daripada KDNK suku tahun kedua 2013.

Jika situasi ini tidak ditangani, negara mungkin terpaksa bergantung kepada modal asing untuk menjana pertumbuhan ekonominya, seperti yang berlaku pada awal 90-an.

Walaupun ketika ini hampir 97 peratus hutang kerajaan adalah dalam ringgit, hampir separuh berada di tangan pelabur dan dana asing.

Jika pihak asing ini melepaskan pegangan hutang kerajaan, pelabur tempatan perlu mengambil alih pegangan ini. Ini akan mengurangkan tabungan negara yang ada untuk membiayai program pembentukan modal pihak swasta.

Penurunan penarafan

Baru-baru ini, agensi penarafan kredit Fitch memberi amaran bahawa penarafan kredit Kerajaan Malaysia mungkin diturunkan daripada `A-' kepada `BBB+' jika kedudukan fiskal negara tidak menunjukkan peningkatan.

Penarafan kredit `A' umumnya mencerminkan kepercayaan dan komitmen kerajaan dalam pengurusan hutangnya.

Jika penurunan penarafan berlaku, negara mungkin menangani kejutan pasaran dan pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Aliran keluar dana asing akan tercetus dan kadar faedah bagi hutang Kerajaan akan naik.

Faktor di atas jelas memperlihatkan bahawa ruang fiskal negara amat terhad. Kerajaan terpaksa bertindak untuk memastikan kemampanan fiskal negara demi kestabilan ekonomi jangka panjang.

Pelan tindakan kerajaan adalah termaktub di dalam Inisiatif Reformasi Strategik (SRI) yang telah diumumkan.

Salah satu daripada enam SRI yang diumumkan adalah Reformasi Kewangan Awam (PFR). PFR bukan sahaja membabitkan pengurangan perbelanjaan, malah merangkumi objektif meninggikan hasil, mengurangkan kebocoran dan mempertingkatkan tahap kecekapan pengurusan kewangan negara.

Selepas menikmati pertumbuhan ekonomi yang dijana oleh dasar fiskal, rakyat perlu menerima hakikat bahawa pengorbanan perlu dilakukan dalam jangka masa terdekat untuk kesinambungan kemakmuran ekonomi pada masa hadapan.

Negara perlu melakukan banyak reformasi untuk terus kekal relevan pada peringkat antarabangsa dan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

* Penulis ialah Ketua Penyelidikan di MIDF Research

No comments:

Post a Comment