Friday, October 25, 2013

Pakatan Rakyat lancar Belanjawan Alternatif tanpa GST


OLEH MOHD FARHAN DARWIS
OCTOBER 24, 2013
LATEST UPDATE: OCTOBER 24, 2013 06:16 PM

Pakatan Rakyat (PR) hari ini melancarkan Belanjawan Alternatif mereka dengan keyakinan akan dapat mengurangkan 10 peratus perbelanjaan pengurusan tanpa penyertaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan bakal membebankan rakyat.

Berteraskan tema "Mempertahankan Kepentingan Rakyat Dalam Mengharungi Gelombang", Belanjawan Alternatif PR itu turut mensasarkan penjimatan RM30 bilion setahun melalui langkah penjimatan dan pengurusan berhemah.

"Bajet PR akan beri penjimatan ringgit dan bukan kenaikan harga," kata Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke pada sidang media di Parlimen, hari ini.

"Mungkin kerajaan akan naikkan kadar GST sehingga tujuh peratus dalam masa beberapa tahun sahaja jika dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, PR tetap dengan pendirian tidak akan memperkenalkan GST dalam tempoh terdekat memandangkan hanya sebilangan kecil daripada rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan individu.

"Pelaksanaan GST masih belum sesuai kerana hanya kira-kira 1.8 juta membayar cukai. Jika ia tetap dilaksanakan, seramai 29 juta rakyat Malaysia akan membayar GST," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada sidang media sama.

"GST ini cukai 'regressive’,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam sidang media sama berkata kesemua penjimatan yang dicadangkan mereka boleh dilaksanakan dengan iltizam politik yang tinggi.

"Yang penting ialah iltizam politik dan komitmen mencapau ketirisan, penyelewengan dan rasuah sifar," kata Naib Presiden PKR itu.

PR menganggarkan belanjawan alternatif mereka itu akan membolehkan Malaysia menikmati kadar lebihan belanjawan selewat-lewatnya pada 2018 melalui reformasi fiskal yang dicadangkan pembangkang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mendedahkan intipati belanjawan pembangkang itu berkata antara teras utama belanjawan berkenaan adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

"Bajet alternatif 2014 PR adalah suatu usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan bajet selewat 2018," kata Anwar ketika sidang media intipati belanjawan pembangkang di Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Reformasi berkenaan bakal membolehkan Malaysia keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion melalui kos bayarab pembayaran hutang melebihi RM20 bilion setahun.

"Ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan, pengajian polisi perbelanjaan kerajaan terutamanya dalam kontrak dan prokumen peralatan dan juga memperkemas mekanisme subsidi sasaran," katanya kepada pemberita.

Cukai berkenaan menurut belanjawan itu akan ditangguhkan sehingga pendapatan isi rumah mencapau tahap yang sesuai, pelebaran 'band' cukai pendapatan terutamanya golongan menengah untuk mengelakkan mereka memasuki band lebih tinggi, dan juga kajian menyeluruh mengenai 'trade-off' cukai korporat dan peribadi dengan GST.

PR juga akan memperkenalkan sistem cukai 'real property gains tax' (RPGT) pada tahap sebelum 2007 iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi penjualan pada tahun kelima.

Selain menghentikan Program Latihan Khidmat Negara, belanjawan alternatif itu jelasnya turut memberikan penekanan kepada pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo, pengkajian semula polisi Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak serta perbekalan 100 peratus bekalan air untuk kawasan luar bandar. – 24 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment