2013/10/19 - 16:43:16 PM
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara dan memastikan lebihan akaun semasanya terus berada di dalam keadaan yang kukuh, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Langkah-langkah itu katanya, akan memastikan negara tidak mengalami apa yang dipanggil defisit berkembar atau 'twin deficit', merujuk kepada defisit fiskal dan defisit di dalam akaun semasa.
Beliau menjelaskan lebihan dagangan negara ketika ini masih kukuh walaupun terdapat pengurangan eksport dan peningkatan import, manakala defisit fiskal pula diunjurkan berada pada empat peratus tahun ini dan tiga peratus menjelang 2015.
"Dengan langkah-langkah yang sudah dan akan diambil kerajaan, saya tidak rasa kita akan mengalami defisit berkembar (fiskal dan akaun semasa)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan "The Future of Urban Living" di Nusajaya, hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh Singapore Eisenhower Fellowship Society dan Eisenhower Fellows Association Malaysia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan yang disuarakan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terhadap ancaman defisit berkembar itu terhadap ekonomi Malaysia.
Menurut Abdul Wahid, peningkatan import negara itu disebabkan pelbagai faktor termasuk terdapatnya banyak "lumpy item" seperti perolehan pesawat-pesawat baru oleh Malaysia Airlines (MAS).
Bagaimanapun katanya, perolehan pesawat baru oleh MAS itu akan memberikan manfaat kepada syarikat pada masa depan.
Pengurangan lebihan akaun semasa negara juga disebabkan peningkatan intensiti pelaburan syarikat dan dana negara terhadap syarikat serta hartanah luar negara ketika ini, katanya.
"Tetapi Insyallah, mengikut unjuran kita dengan pelbagai langkah yang kita adakan, kita merasakan akan dapat mengekalkan lebihan akaun semasa kita dengan mampan," kata Abdul Wahid.
Mengenai rasionalisasi subsidi pula, beliau berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan pemberian subsidi yang menelan belanja di antara RM37 bilion dan RM38 bilion daripada pendapatan negara tahun lalu.
Subsidi bahan api sahaja katanya, menelan belanja sebanyak RM24 bilion tahun lepas atau 12 peratus daripada pendapatan keseluruhan negara.
"Ia adalah satu jumlah yang besar, jadi, kita mesti kurangkan perbelanjaan ke atas subsidi," katanya sambil menambah pengurangan subsidi itu akan dilakukan pada tahap yang boleh diterima oleh rakyat.
Beliau berkata, kerajaan sedar akan kesan terhadap rakyat jika subsidi dikurangkan.
Abdul Wahid juga ditanya tentang kemungkinan kerajaan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada pembentangan Bajet 2014 minggu depan dan berkata, keputusan itu terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.
Bagaimanapun, katanya, banyak kajian oleh kerajaan dan pihak swasta termasuk penganalisis ekonomi yang menunjukkan GST adalah cara terbaik untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.
"Pakar dan penganalisis ekonomi berpendapat GST telah overdue," kata Abdul Wahid dan menambah, kerajaan juga akan memastikan golongan berpendapatan rendah tidak menerima kesan yang teruk hasil pengenalan GST.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment