Monday, October 21, 2013

Keputusan pelaksanaan GST di tangan PM - Wahid


ARKIB : 20/10/2013

NUSAJAYA 19 Okt. - Keputusan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan dalam Bajet 2014 terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan merupakan satu daripada pendekatan jangka panjang kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara.

Kata beliau, sebenarnya dalam konteks GST telah banyak kajian dijalankan, bukan sahaja di pihak kerajaan tetapi swasta dan memang ramai penganalisis dan ahli ekonomi mencadangkan bahawa untuk meningkatkan pendapatan kerajaan, satu daripada cara terbaik adalah dengan melaksanakan GST.

"Bagi pakar ekonomi, memang ramai telah meminta GST dilaksanakan. Namun, kata putusnya hanya dibuat oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan. Saya cuma menyatakan hasrat pakar ekonomi dan pelabur untuk pelaksanaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri persidangan 'The Future of Urban Living' di Nusajaya di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, kerajaan juga akan memastikan golongan berpendapatan rendah menerima kesan yang baik hasil pengenalan GST kelak.

"Saya harap sekiranya GST dilaksanakan, akan dapat sokongan, di samping memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terjejas akibat sistem ini," katanya.

Mengenai rasionalisasi subsidi, beliau berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan pemberian subsidi yang menelan belanja antara RM37 bilion hingga RM38 bilion daripada pendapatan negara tahun lalu.

Beliau berkata, pengurangan subsidi itu dilakukan pada tahap yang boleh diterima oleh rakyat kerana kerajaan sedar tentang kesannya terhadap golongan ini jika dikurangkan.

No comments:

Post a Comment