Monday, October 21, 2013

Kementerian Kewangan, kastam pertingkat penjelasan kebaikan pelaksanaan GST


Ahmad Maslan beramah mesra dengan para pegawai kastam yang menghadiri
Seminar Kepimpinan Organisasi Berprestasi Tinggi di Akademi Kastam Diraja Malaysia,
Bukit Baru, Melaka, semalam.

MELAKA 20 Okt. - Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam mempertingkatkan pengetahuan rakyat mengenai kebaikan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai agensi pelaksana, Jabatan Kastam telah menyiapkan segala sistem berkaitan sejak 2005 lagi.

"GST akan dilaksanakan tetapi tarikh dan peratusannya hanya akan diketahui apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman, mungkin pada pembentangan bajet tidak lama lagi.

"GST perlu dilaksanakan untuk memantapkan lagi sistem cukai negara agar lebih telus, adil dan berkesan,'' katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucap utama dan merasmikan Seminar Kepimpinan Organisasi Berprestasi Tinggi di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal), Bukit Baru di sini hari ini.

Katanya, apabila GST dilaksanakan nanti, dua jenis cukai iaitu cukai jualan 10 peratus dan perkhidmatan enam peratus akan dimansuhkan.

"Penjelasan dan penerangan tentang GST akan diperhebat selepas ini supaya rakyat faham dan tidak diputar belit oleh pembangkang," katanya.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib dan Pengarah Akmal, Dayang Fatimah Johari.

Kata Ahmad, pelaksanaan GST tidak akan membebankan rakyat kerana mempunyai pengecualian terhadap kumpulan makanan dan perkhidmatan tertentu.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Kastam menyasarkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM34.43 bilion tahun ini.

Menurut beliau, antara Januari hingga 17 Oktober lalu, jabatan itu telah berjaya memperoleh nilai kutipan hasil sebanyak RM25.8 bilion.

No comments:

Post a Comment