Tuesday, October 8, 2013

Jaga-jaga jangan jadi macam Amerika


2013/10/05 - 03:43:52 AM Kunta Kinte

Yang kita pernah dengar, ada negara miskin tak cukup duit nak belanja sampai gaji kakitangan awam pun tak boleh dibayar atau lambat dibayar.

Ada yang berhutang dengan kakitangan awam sampai berbulan-bulan. Nak bangunkan negara dan bayar hutang luar tentulah jauh sekali. 

Bila dah tak ada jalan lain, mereka cap duit. Mereka tambah jumlah mata wang dalam edaran. Yang tak dapat gaji, dapat gaji tapi bila nak belanja tak laku. Harga barang-barang dan perkhidmatan naik sebab yang naik bukan pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan, tetapi jumlah duit. 

Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia”

Bila jumlah duit naik, tapi tak disokong oleh harta kerajaan yang berharga macam emas dan simpanan mata wang asing, nilainya bukan saja tak naik malah turun.

Lagi banyak duit dicap dan diedarkan, lagi murahlah nilainya. Lagi-lagilah kalau ekonomi negara yang cap duit tu pula lemah.

Pasal itulah pengurusan ekonomi, belanjawan, cukai dan mata wang sangat penting. Sebab itulah banyak negara bila dapat Menteri Kewangan yang baik, mereka jaga betul-betul.
Masalahnya, dalam dunia tak banyak orang politik yang cekap dan pandai hal kewangan. Bila tak cekap dan tak pandai, tapi ada kuasa mereka lebih banyak fikir hal politik dan populariti daripada kepentingan jangka panjang negara.

Di sesetengah negara, bila dapat Menteri Kewangan yang cekap dan bagus, mereka simpan lama-lama. Tapi manusia tetap manusia. Bila dia berjaya sebagai Menteri Kewangan dan jadi popular, dia nak naik jadi Perdana Menteri pula atau rakyat jelata paksa dia jadi Perdana Menteri.

Itulah yang jadi kepada Manmohan Singh di India. Dia sangat berjaya sebagai Menteri Kewangan, tapi bila dipilih jadi Perdana Menteri dia tak berjaya nak ubah ekonomi India.

Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pengurusan kewangan lemah, ekonomi tak berkembang dan, baru-baru ini nilai tukaran rupee merudum.

Tapi itu cerita negara miskin. Pada akhir-akhir ini negara maju pun hadapi masalah yang sama. Mula-mula Iceland, lepas itu Greece. Portugal dan Sepanyol pun kena walaupun tak teruk sangat.

Tak mampu bayar gaji

Macam mana pun yang paling teruk hadapi masalah belanjawan ialah Amerika Syarikat. Dah banyak kali Kerajaan Amerika dekat-dekat muflis sampai nak bayar gaji kakitangan awam pun tak mampu.

Di bawah Presiden Barack Obama saja dah dua kali. Kali pertama dia nasib baik bila parti dia, iaitu Demokrat berjaya dapat kerjasama parti pembangkang, Republikan.

Tapi kali ini Republikan tak mahu tolong dia lagi kalau dia tak mahu dengar kehendak mereka. Obama pula tak mahu mengalah. Jadi pertengahan minggu ini, pemerintahan Kerajaan Amerika ditutup.

Kerajaan tak ada duit nak bayar gaji kakitangan Persekutuan. Beratus-ratus ribu pekerja awam diperintah jangan datang kerja sebab Pentadbiran Obama tak ada duit lagi nak bayar gaji mereka. Nak tambah hutang pun tak dibenarkan lagi. Pendek kata, Kerajaan Pusat Amerika dah bankrap.

Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia.

Penutupan kerajaan

Dalam bahasa Inggeris disebut government shutdown atau lebih kurang penutupan kerajaan. Kerajaan ditutup kerana tak ada duit nak uruskan pentadbiran awam.

Inilah bahananya bila orang politik asyik main politik, lebih banyak cakap dan berslogan daripada buat kerja, banyak melawat ke luar negara, boros dan salah guna kewangan negara.

Bila orang politik yang tak ada pengetahuan dalam pengurusan ekonomi dan kewangan jadi Presiden atau Perdana Menteri, inilah akibatnya. Obama dia peguam. Penasihat dia pun nampaknya half-past six.

Negara bankrap dan rakyat jelata menderita. Itu pun ada lagi orang kita yang sanjung Obama macam dia dewa.

Kerajaan Amerika dah bankrap, tapi pemimpin Amerika dok ingat mereka kuat dan berkuasa macam zaman Perang Dingin, boleh peras ugut satu dunia beli senjata dan barang-barang keluarannya.

Apa yang jadi kepada Amerika dan kepada makin banyak negara maju boleh jadi kepada kita kalau kita tak belajar, tak ambil iktibar. Dan kalau kita dok ingat kita kaya, kita stabil dan kita boleh hutang bila-bila masa kita mahu. 

Kita pun akan muflis kalau pengurusan ekonomi, kewangan, percukaian dan mata wang kita tak cekap, kerajaan boros, rasuah dan salah guna kuasa.

Kunta Kinte harap kita janganlah seronok sangat bila diberi gelaran Menteri Kewangan, Gabenor Bank Negara atau pengurus bank terbaik di dunia. Kita kena ingat bukan semua gelaran telus dan berwibawa.

Sekarang ada macam-macam organisasi perniagaan yang bagi macam-macam gelaran asalkan sanggup bagi tajaan, derma dan beli meja.

Kunta Kinte takut dalam kita dok seronok terima anugerah dan hadiah, apa yang sedang terjadi kepada kita indah khabar daripada rupa. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment