Monday, October 14, 2013

Ekonomi tumbuh 5 peratus


2013/10/14 - 05:15:41 AM


Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus dan lima peratus tahun ini berikutan pengukuhan berterusan permintaan domestik serta pemulihan dalam eksport.

Beliau turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang yang lebih tinggi pada 2014. 

“Kami melihat perangkaan terbaru bagi eksport pulih ke arah positif. Jika arah aliran ini berterusan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2013 akan berada pada julat tertinggi (lima peratus) daripada yang diunjurkan pada Ogos lalu,” katanya dalam satu wawancara dengan Bloomberg di Washington, kelmarin. 

Katanya, beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi bagi tahun depan akan lebih baik daripada yang dicatatkan tahun ini.

Zeti juga menegaskan, nilai ringgit secara relatifnya adalah stabil berbanding mata wang lain dan akan terus meningkat jika asas ekonomi negara terus kukuh.

“Sektor domestik adalah kukuh dan menjadi pemacu pertumbuhan semasa tempoh yang mencabar ini.

“Pada 2013, perdagangan global mengalami kelembapan dengan amat ketara dan sudah tentu ia menjejaskan Malaysia kerana keterbukaan ekonominya. 

“Namun, jika kami tidak melaksanakan langkah menyeimbangkan semula ekonomi, kami mungkin hanya mencatatkan pertumbuhan antara satu hingga dua peratus,” katanya.

Turunkan angka unjuran

Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun ini kepada antara 4.5 peratus dan lima peratus pada Ogos daripada enam peratus sebelumnya.

Zeti berkata, dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan datang, Bank Negara akan memberikan lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi berbanding inflasi kerana pertumbuhan ekonomi global akan kekal lemah.

Katanya, inflasi negara ketika ini adalah stabil berikutan kestabilan dalam pertumbuhan permintaan dan negara ini juga mempunyai kapasiti pengembangan yang ketara.

Justeru, beliau berkata, fafaedah ketika ini pada kadar yang sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa.

Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya meningkat 1.9 peratus pada Ogos lalu daripada tahun sebelumnya.

Zeti berkata, walaupun rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan harga, peningkatan dalam produktiviti akan membantu mengurangkan kos.

“Kedudukan kewangan kerajaan akan mengukuh hasil daripada pungutan hasil lebih cekap, dan pelaksanaan cukai perkhid-matan dan barangan (GST) juga akan meningkatkan asas pendapatan,” katanya.

Mengenai risiko penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings, Zeti berkata, komitmen kerajaan akan menunjukkan potensi pemulihan dalam kedudukan kewangannya dengan beberapa inisiatif yang akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2014.

Beliau turut menolak kemungkinan Malaysia akan membenarkan ringgit diperdagangkan semula di luar negara dalam tempoh terdekat ini.

“Dalam keadaan pasaran kewangan antarabangsa yang kini masih tidak stabil, kami tidak akan cuba untuk mengantarabangsakan ringgit.

Ringgit masih stabil

“Kami mahu melihat sebuah pasaran tukar asing antarabangsa yang kukuh. Walaupun ia telah meningkat secara beransur, ia belum mencapai tahap yang meyakinkan kami untuk mengantarabangsakan pasaran wang kami,” katanya.

Zeti juga menegaskan walaupun nilai ringgit telah mengalami kemerosotan tahun ini, jika dibandingkan dengan mata wang lain, ia adalah stabil.

Justeru, kami percaya, dalam tempoh sederhana, nilainya sepatutnya mencerminkan asas ekonomi, dan jika asas ekonomi kekal kukuh, ia akan meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment