Monday, October 21, 2013

Dr. M: GST perlu kajian mendalam


ARKIB : 19/10/2013

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan digesa membuat kajian secara mendalam berhubung pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) supaya tidak membebankan rakyat.

Perkara tersebut ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu kajian juga dijalankan bagi mengenal pasti kadar peratus bersesuaian dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat termasuk mengawal perbelanjaan kerajaan secara berhemat.

"Krisis kewangan memang ada kerana defisit kerajaan sudah bertambah. Jika kurangkan subsidi, kalau dibuat berperingkat-peringkat, tidak jadi masalah. Sebaliknya, jika perbelanjaan tidak terkawal, pengurangan subsidi ini tidak memberi apa-apa kesan.

"Mengenai GST, kenalah laksanakan sedikit demi sedikit, perlahan-lahan. Jangan dibuat secara tiba-tiba. Kajian mendalam perlu dilakukan dengan bertanya kepada pelbagai pihak,'' katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Pelaburan Ummah Bhd. di sini hari ini.

Tabung tersebut mendapat sokongan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor dan Yayasan Dewan Perniagaan Melayu Johor (YDPMJ) dengan suntikan dana sebanyak RM10 juta.

Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas.

Dr. Mahathir sebelum itu ditanya sama ada kerajaan ketika ini berdepan dengan krisis kewangan selepas bertindak mengurangkan subsidi petrol selain bercadang memperkenalkan GST.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kerajaan perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Greece.

"Greece menjadi bankrap kerana tidak cukup duit sehingga terpaksa meminjam. Harap kita perhatikan perkara itu sebaik-baiknya,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, kerajaan tidak perlu menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana perjanjian itu dilihat hanya menyebelahi Amerika Syarikat (AS) yang kini 'berkonfrontasi' ekonomi dengan China.

No comments:

Post a Comment