Wednesday, October 23, 2013

Bajet 2014: Pemuda PAS tegas tolak GST


Harakahdaily, 17 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia tegas menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijangka menjadi agenda utama pembentangan Bajet 2014. 

“Inilah sifat sebenar transformasi pemerintah yang kononnya mendahulukan rakyat,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan. 

Katanya, setelah bertahun lamanya berada di dalam penafian mengenai status kewangan negara yang semakin parah, kini pemerintah tanpa rasa malu mahu rakyat menebus beban ini dengan program cukai baru biarpun keadaan ini disebabkan kecuaian mereka mengurus fiskal negara. 

Beliau berkata, banyak kajian telah merumuskan perlaksanaan GST berisiko mendorong kepada kenaikan kos sara hidup. 

Begitupun, ujarnya sisi pandang ini tidak diendahkan kerajaan yang terdesak mengesan sumber baru pendapatan meskipun ianya bermakna rakyat terpaksa menanggung peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Malah, katanya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada asasnya menklasifikasikan GST sebagai cukai jenis regresif yang meletakkan kebajikan golongan berpendapatan rendah lebih berisiko terjejas memandangkan harga barangan penting telah meningkat.

Beliau menambah, lebih ironi apabila kaum pekerja masih belum merasai hasil dari strategi ‘negara berpendapatan tinggi’ malah skim gaji minima terus menerus tertangguh. 

Katanya, setelah idea-idea transformasi ini tersisih, kini keutamaan kerajaan adalah mengikis pendapatan rakyat dengan memperkenalkan sistem cukai baru.

“Yang membimbangkan kita, rakyat telah sedia terbeban dengan hutang isirumah yang menjangkau 82.9% dari jumlah nominal KDNK, antara yang tertinggi di Asia di samping pertumbuhan pendapatan sebenar yang telah sekian lama mendatar. 

“Apakah kita mampu berdepan peningkatan kos sara hidup akibat dari GST?” tanya beliau yang juga Ahli parlimen Temerloh.

Soal beliau lagi, apakah pula insentif bagi rakyat untuk melihat dasar cukai ini dilaksanakan ketika negara berdepan ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa setiap tahun seperti yang didedahkan Laporan Audit, GFI, Transparency International dan sebagainya.

“Apakah dengan kantung kerajaan menjadi lebih besar maka lebih tinggi peluang bagi kroni pemerintah melakukan rasuah dan berbelanja secara semberono?” tanya Nasrudin lagi.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia tegas di dalam tuntutan untuk melihat kes-kes rasuah dan pembaziran ditangani terlebih dahulu bagi mengembalikan integriti di dalam amalan urustadbir dan kelola kerajaan sebelum negara bereksperimen dengan sistem percukaian baru.

No comments:

Post a Comment