Monday, September 30, 2013

RON 95, rokok dan GST


Amin Iskandar adalah penerima anugerah
zamalah Asian Public Intellectuals (API)
bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan
Pengarang Berita bagi The
Malaysian Insider. Beliau "berkicau"
di
www.twitter.com/aminiskandar.
SEPTEMBER 29, 2013

Khabar angin kenaikan harga minyak RON 95 sebanyak 10 sen Jumaat lalu begitu menggusarkan rakyat bawahan.

Dikatakan Kabinet sudah membincangkan perkara itu dan bersetuju untuk memotong lagi subsidi RON 95 yang digunakan oleh majoriti pengguna kenderaan di Malaysia.

Stesen minyak penuh dengan pengguna di sebelah petang dan malam kerana takutkan harga bahan bakar itu benar-benar naik walaupun Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sudah menafikan khabar angin itu.

Kegusaran orang ramai ini menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa membuat penafian kerajaan akan menaikkan harga RON 95 dalam jangkamasa terdekat.

Katanya, dakwaan itu tidak benar malah tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Di kedai-kedai kopi rungutan tentang kesan kenaikan RON 95 sebanyak 20 sen awal bulan ini masih belum lagi pudar. Jika dinaikkan lagi, sudah tentu barah akan menjadi lebih parah.

Kegusaran orang ramai tentang khabar angin kenaikan RON 95 memberi petanda kehidupan majoriti rakyat terjejas setiap kali “penyelasaran subsidi” dilakukan.

Rokok

Selain RON 95, di laman-laman sosial tersebar juga harga rokok akan turut dinaikkan.

Dikatakan bermula 30 September, harga sekotak Dunhill akan dinaikkan daripada RM10.50 ke RM12.00.

Khabar angin tentang kenaikan harga rokok ini setakat ini masih belum ada yang menafikan. Mungkin khabar angin itu benar.

Tauke-tauke kedai runcit yang ditemui juga tidak menolak kemungkinan harga rokok akan dinaikkan.

Hari ini golongan perokok sudah menjadi semakin minoriti.

Apatah lagi dunia hari ini ditadbir oleh golongan “anti smoking facist”, maka kenaikan harga rokok tidak ramai yang peduli.

6 September lalu polis merampas 141 karton rokok seludup di Jalan Mersing, Kluang.

Suspek lelaki dan wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu dicekup dalam sekatan jalan raya, kira-kira jam 4.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis menemui pelbagai jenis rokok dalam bonet kereta suspek, disyaki dibawa masuk ke negara ini tanpa cop pengesahan daripada kastam.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun dan denda 10 hingga 20 kali nilai rampasan atau kedua-duanya.

Berita sebegini akan terus kita dengari jika kerajaan akan menaikkan lagi cukai rokok.

Rokok seludup akan terus laku setiap kali cukai terhadap rokok “halal” dinaikkan.

Teori ekonomi mudah selagi ada permintaan di situ ada penawaran.

Jadi siapakah yang sebenarnya untung setiap kali harga rokok naik? Kerajaan atau tauke rokok seludup?

GST

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hampir pasti akan diperkenalkan dalam Bajet 2014.

Apatah lagi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah sah tidak dicabar bagi jawatan presiden dalam pemilihan Umno bulan depan.

Maknanya, bagi penggal ini Najib masih lagi sah akan terus menjadi perdana menteri walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, lebih buruk daripada apa yang Tun Abdullah Badawi lakukan pada 2008.

Media arus perdana seperti TV3 sedang cuba mengolah persetujuan rakyat agar tidak terkejut apabila benar-benar dilaksanakan nanti.

Dalam Buletin Utama baru-baru ini, stesen televisyan berpengaruh itu mengatakan satu struktur cukai baru akan diperkenalkan semasa pengumuman Bajet 2014 nanti.

Bagaimana pula reaksi orang ramai nanti? Sudah bersediakah mereka untuk berhadapan dengan GST? Apakah akan berlaku penentangan besar-besaran? – 29 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment