Monday, January 27, 2014

Bajet 2014: Penarafan kredit, TPPA, KDNK DAN GST (Original)


*Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas

Rencana di Utusan Online klik di sini

RENCANA ASAL
BAJET 2014: PENARAFAN KREDIT, TPPA, KDNK DAN GST

Oleh Abdussalam Shokhawi
30 Ogos 2013

Menurut perancangan kerajaan, pembentangan Budget 2014 akan dibuat pada 25 Oktober 2013 di Dewan Rakyat. Bajet pasca Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) ini akan menjadi perhatian semua pihak yang ingin melihat buah tangan pertama daripada kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak kepada Rakyat bagi penggal baharu 5 tahun yang diperbaharui pada Mei 2013 yang lalu. 

Bagi kebanyakan pemerhati ekonomi dan politik, adalah tidak sukar untuk menelah apa yang bakal menjadi perhatian kerajaan kerana indikasi mengenainya telah pun dinyatakan di dalam Manifesto Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang lalu. Namun begitu, perincian terhadap isi kandung bajet ini masih lagi menjadi aspek kejutan dan tetap dinanti-nantikan. 

Seperti kebiasaan, bajet nasional ini perlu menyeimbangi pelbagai perkara penting yang membebani kerajaan, daripada isu keperluan Rakyat terbanyak, isu alam sekitar, isu keselamatan dalam dan luar negara, isu pendidikan, isu pembangunan ekonomi, isu percukaian dan banyak lagi.

Bagi isu pembangunan ekonomi, antara perkara terbesar yang perlu diberi perhatian kali ini adalah untuk memperlihatkan inisiatif-inisiatif hala tuju ekonomi yang mampan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan makro ekonomi negara. Kerajaan perlu membuktikan komitmennya untuk menstabilkan situasi kredit negara serta menunjukkan prospek pelaksanaan pembaharuan bajet negara adalah tidak suram seperti yang ditakrifkan oleh agensi penarafan global, Fitch Ratings pada Julai 2013. 

Dalam hal ini, kerajaan harus memperkasakan pentadbiran dan pengurusan sistem kewangan negara agar keyakinan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan di dalam sistem ekonomi negara termasuklah pelabur, bakal pelabur, pemiutang dan penghutang akan dapat dipertingkatkan. Usaha tekun perlu digembeling untuk mengembalikan bajet berimbang serta menghasilkan petunjuk positif ekonomi seperti pengukuhan Ringgit berbanding matawang utama dunia, peningkatan jumlah dagangan, pengurangan kredit, peningkatan eksport dan sebagainya.

Perkara ini bukan mudah untuk dilakukan kerana penurunan ramalan (Outlook) penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif yang dibuat oleh Fitch Ratings telah memberikan impak yang besar terhadap situasi pasaran seperti kejatuhan pasaran saham di Bursa Malaysia dan pengucupan nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika. Kesan pasaran ini juga adalah kesan berganda dan perlu ditangani segera dengan bijaksana oleh kerajaan untuk mengelakkan bencana kemelesetan ekonomi berulang lagi. 

Selain isu penarafan Fitch Ratings, Bajet 2014 turut dijangka akan memperkatakan mengenai perkembangan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA yang melibatkan 12 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun. 

Pelbagai pihak telah menyatakan kerisauan mengenai isi kandung serta keseimbangan perjanjian perdagangan ini kerana faktor pengaruh negara kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan kritikalnya mengenai TPPA telah membangkitkan isu-isu ketelusan kerajaan dalam rundingan perjanjian tersebut serta telah melahirkan kebimbangan yang serius bahawa Malaysia bakal terdedah kepada risiko perjanjian berat sebelah terutamanya dalam memenuhi agenda tersirat Amerika Syarikat terhadap negara kecil yang makmur seperti Malaysia.

TPPA sebenarnya adalah satu bentuk perjanjian bebas untuk menggalakkan kegiatan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan di antara negara-negara yang menandatanganinya. TPPA menyediakan pelbagai manfaat pasaran yang memungkinkan syarikat-syarikat tempatan untuk berpeluang meneroka pasaran antarabangsa, memindahkan teknologi dan berkongsi ilmu pengetahuan. 

Walaupun begitu, TPPA dikatakan mempunyai terma-terma khusus yang dilihat akan memberikan kelebihan kepada negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Sebagai contoh, negara anggota tidak dibenarkan mengenakan kawalan ke atas pertukaran matawang, dikehendaki membentuk dasar kesamarataan bagi peluang pemerolehan kontrak kerajaan serta pengenaan syarat ketat kepada industri ubat-ubatan/farmasutikal yang dibimbangi akan meningkatkan kos perubatan kepada Rakyat di negara-negara membangun seperti Malaysia.

Dalam hal lain, Bajet 2014 turut dijangka akan menjadi medium perbahasan mengenai pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru-baru ini telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada antara 5 peratus dan 6 peratus kepada antara 4.5 peratus dan 5 peratus. Menurut kenyataan BNM, KDNK 2013 Malaysia telah disemak semula berikutan situasi ketidaktentuan yang belarutan dalam ekonomi global. Aktiviti eksport dalam separuh pertama tahun 2013 telah mencatatkan pertumbuhan yang negatif berikutan faktor persekitaran luar yang lemah dan ini amat memberikan kesan terhadap prestasi KDNK keseluruhannya. 

Hakikatnya, disebalik ketidaktentuan ekonomi global, KDNK Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.3 peratus pada suku kedua tahun 2013 berbanding 4.1 peratus pada suku pertama. Statistik ini telah disumbangkan oleh kekukuhan asas ekonomi domestik yang merangsang teguh daya tahan ekonomi Malaysia. Jika dihurai secara menyeluruh, aktiviti sektor swasta telah menjadi faktor utama yang mendorong kepada perkembangan positif KDNK negara bagi separuh pertama 2013. 

Tahukan anda bahawa situasi ekonomi di Malaysia sebenarnya telah dipantau secara dekat oleh pelbagai pihak yang berkepentingan sama ada di dalam dan luar negara? Mereka yang memantau termasuklah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, ahli-ahli politik dunia barat, para pelabur asing yang berpotensi, negara-negara serantau serta spekulator-spekulator ekonomi yang sentiasa mencari ruang kelemahan untuk mengaut keuntungan atas kelalaian negara kita.

Beberapa pihak yang sedang memantau ini telah berusaha keras untuk mengubah lanskap kehidupan masyarakat dunia dengan cogan kata “untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik”. Mereka mencipta teknologi, mewujudkan persaingan dan menggubah polisi-polisi tingkah laku mengikut acuan mereka sendiri dan menjadikan pihak yang menolak oder baru mereka sebagai menolak kemajuan dan minda tertutup. 

Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap unjuran kredit Malaysia dengan tafsiran bahawa pengurusan kewangan Malaysia sedang melalui fasa yang lemah selepas Mei 2013 dan terdedah kepada sebarang kejutan ekonomi. Pengumuman Fitch Ratings dibuat ketika Amerika Syarikat memperlihatkan tekanan kepada Malaysia agar TPPA segera dimuktamadkan. Para pelabur asing pula menunjukkan reaksi dingin terhadap pasaran sehingga mengakibatkan mata dagangan Bursa Malaysia dan matawang negara mengucup dengan agak ketara. Ini memaksa statistik ekonomi Malaysia dipotretkan sebagai tidak memberangsangkan, walaupun pada hakikatnya asas ekonomi domestik kekal kukuh.

Semua tindak-tanduk ini telah mendedahkan sikap membuli negara-negara kuasa besar ekonomi yang menginginkan Malaysia menari mengikut tempo yang ditetapkan oleh mereka. Matlamat utama negara-negara ini adalah untuk menguasai pasaran supaya ekonomi mereka sendiri akan terlindung dan stabil. Malaysia ditekan dengan pelbagai cara supaya tunduk kepada kemahuan mereka dan membuka pasaran secara bebas. 

Secara realistiknya, ekonomi Malaysia masih berada dalam landasan yang teguh kerana dipacu oleh aktiviti dalam pasaran domestik yang berdaya tahan. Namum begitu, untuk Malaysia bergerak kehadapan dalam situasi ekonomi global yang yang dikawal (walaupun barat selalu mengatakan bahawa pasaran sepatutnya bebas), penyesuaian yang signifikan wajar dilakukan untuk menyeimbangi segala tindak balas persekitaran global.

Ekonomi Malaysia tidak selamanya mampu bertahan dengan kapasiti domestik kerana pada akhirnya yang menerima bebanan adalah pelabur tempatan dan Rakyat. Sifat globalisasi tidak memungkinkan ekonomi Malaysia mampu menyerap ancaman luaran yang berterusan mendesak. Malaysia perlu menggunakan strategi menyerang atau berkawan berbanding memilih untuk bertahan sahaja. 

Untuk itu, Malaysia perlu pantas membuat transformasi melalui caranya sendiri serta berani mengambil risiko untuk mengelakkan dari dipandang rendah oleh negara-negara kuasa besar. Malaysia pernah melakukannya dua kali dengan membuat transformasi melawan arus untuk keluar dari krisis ekonomi pada tahun 1987 dan 1997. Kejayaan ini telah memberikan makna besar kepada Malaysia sehinggakan dunia menjadi kelu dan terpaksa mengiktiraf apa yang dilakukan sebagai sesuatu yang sangat hebat (walaupun mengambil masa yang lama untuk mengiktiraf).

Isu penarafan unjuran kredit Malaysia oleh Fitch Ratings sebenar tidak timbul sekiranya Malaysia menerima pendekatan yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat iaitu dengan menerima TPPA segera. Permainan licik sebegini adalah perkara biasa bagi negara Uncle Sam itu. Tidak dinafikan bahawa dengan adanya TPPA, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih mampan kerana potensi kemasukan pelabur asing akan lebih tinggi. Aktiviti ekonomi akan menjadi lebih rancak melalui aliran modal terbuka rentas sempadan antara negara-negara yang terlibat dan ini boleh memotivasikan pelabur-pelabur tempatan untuk menjadi lebih inovatif dalam membentuk strategi masa depan pelaburan mereka. TPPA juga boleh menguntungkan para pengguna kerana ia akan menggalakkan persaingan harga di pasaran. Situasi ini seterusnya berupaya menstabilkan perbelanjaan kerajaan yang kebelakangan ini terpaksa meningkatkan pinjaman untuk tujuan pembangunan dan merangsang ekonomi domestik.

TPPA sebenarnya bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian yang ada bagi menangani isu peningkatan kadar hutang (yang kini berada beberapa mata dibawah paras siling 55% mengikut Akta Pinjaman Tempatan 1959) dan kelembapan pertumbuhan ekonomi negara. Selain TPPA, Malaysia juga boleh menggunakan formula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sememangnya dirumus untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global. 

GST adalah sistem cukai kepenggunaan yang mempunyai asas menyeluruh di dalam kitaran pembekalan. Ia berkebolehan menarik minat pelabur asing yang berpotensi, mengekalkan bakat di dalam negara, menggalakkan kemasukan pelancong asing serta menjana sumber hasil yang lebih stabil kerana kurang dipengaruhi oleh faktor turun naik ekonomi. Dengan adanya GST, kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada hasil berasaskan cukai langsung serta memansuhkan sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang mempunyai banyak kelemahan. GST juga berupaya mempercepatkan usaha kerajaan untuk memperolehi bajet berimbang dan mengurangkan hutang awam. Walau bagaimanapun, sebelum melaksanakan GST, kerajaan disaran mempertingkatkan usaha bagi membuka minda masyarakat mengenai mekanisma sebenar GST dan seterusnya memperbetulkan persepsi yang salah mengenainya.

Sama ada TPPA atau GST atau kedua-duanya skali, ianya terletak secara eksklusif di bahu kerajaan. Kedua-duanya mempunyai nilai yang boleh mempengaruhi pertumbuhan KDNK dan memperbaiki situasi kredit Malaysia. Apa yang penting, keputusan segera yang jitu haruslah dibuat demi mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam era kemelesetan untuk kesekian kalinya. Malaysia perlu terus mengecap kemakmuran dan mendepani perubahan zaman.

Pada 21 Ogos 2013 yang lalu, laman sosial peribadi YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia telah memuat naik status mengalu-alukan idea dan padangan Rakyat berkaitan Bajet 2014 yang akan datang. Mengambil peluang ini, Rakyat perlulah matang dan rasional supaya setiap cadangan yang diberikan terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi, adalah bermanfaat untuk semua. Salurkan semangat patriotisme dan semarakkan jiwa Malaysia yang teguh bagi setiap cadangan yang diutarakan.

Selamat Hari Merdeka ke 56.

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

No comments:

Post a Comment