Thursday, August 22, 2013

Defisit, hutang kerajaan perlu diatasi secara berhemah


Publication: BH
Date of publication: Aug 17, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 033
Byline / Author: Oleh Siti Nurazira Mohd Daud


Kejatuhan indeks kompositi FTSE Bursa Malaysia sebanyak 22.46 mata pada 31 Julai lalu memeranjatkan banyak pihak, khususnya pelabur runcit. Dalam perkembangan sama, nilai ringgit berbanding dolar Amerika ditutup pada kadar yang terendah sepanjang tiga tahun.

Ia adalah antara reaksi pasaran terhadap pengumuman yang dibuat oleh agensi penarafan Fitch Rating terhadap penarafan kredit Malaysia. Fitch mengeluarkan outlook negatif serta memberi indikasi penurunan penarafan kredit Malaysia bagi dua tahun akan datang.

Perkembangan ini adalah disebabkan oleh ketidakpastian terhadap usaha bersungguh-sungguh yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan defisit fiskal seterusnya hutang kerajaan.

Dalam perkembangan yang berbeza, Kerajaan Malaysia optimis dengan kedudukan fundamental ekonomi yang kukuh disokong dengan kedudukan rizab antarabangsa yang kukuh iaitu mampu menampung 9.6 bulan import tertangguh dan 4.3 kali hutang luar jangka pendek. Usaha bagi mengurangkan defisit kerajaan turut akan dilaksanakan yang dijangka dibentangkan dalam Belanjawan 2014 pada Oktober depan.

Penarafan kredit

Secara umumnya penarafan kredit sesebuah negara adalah satu petunjuk penting yang diguna pakai oleh pelabur asing dalam menilai keputusan pelaburan dalam sesebuah negara. Penarafan kredit sesebuah negara adalah maklumat mengenai keupayaan sesebuah negara membayar semula pinjaman atau hutang dalam tempoh masa ditetapkan yang telah dipersetujui.

Justeru, ia juga dilihat sebagai petunjuk kepada kebarangkalian sesebuah negara akan mungkir atau tidak membayar kepada komitmen pinjaman yang dibuat.

Dalam perkembangan sama, agensi Standard and Poor menetapkan pengekalan penarafan kredit Malaysia. Menurut Standard and Poor, pertumbuhan ekonomi yang kukuh disokong oleh pengurangan dalam defisit fiskal seterusnya bebanan hutang dilihat boleh memberi perkembangan positif kepada peningkatan penarafan kredit Malaysia.

Justeru, penarafan kredit negara adalah satu petunjuk penting yang mana ia berkaitan dengan pelaburan asing dan aliran masuk modal seterusnya memberi beberapa kesan kepada ekonomi negara.

Pengurangan defisit dan hutang

Isu pengumpulan hutang kerajaan melalui defisit fiskal yang dicatatkan oleh Malaysia dari setahun ke setahun mula menunjukkan perkembangan yang membimbangkan. Bagaimanapun, perkembangan ini perlu dilihat secara berhemah dan menyeluruh kerana sebarang kekhilafan dalam penilaian mampu mewujudkan keadaan panik di kalangan pelabur dan orang awam seterusnya menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Pada masa kini, kadar hutang yang ditetapkan sebagai optimal adalah pada kadar 50 peratus daripada KDNK oleh negara OECD manakala negara Kesatuan Eropah menetapkan pada kadar 60 peratus.

Mana-mana negara yang mempunyai bebanan hutang melebihi tahap berkenaan, ia dilihat memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi. Bagaimanapun, dalam kalangan ahli akademik mahupun pembuat dasar tiada kesimpulan atau penetapan khusus mengenai nilai optimal berkenaan. Setiap negara adalah berbeza dan mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri.

Justeru, ada satu pandangan dalam kalangan pakar ekonomi menyatakan bahawa, selagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara berada dalam keadaan yang kukuh berserta petunjuk ekonomi lain yang mencerminkan keadaan positif, pegangan hutang yang tinggi tidak semestinya mencermin ketidakstabilan sesebuah ekonomi.

Bajet 2014

Bajet 2014 dijangka akan menyaksikan satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit seterusnya stok hutang melalui komponen fiskal yang terdiri daripada komponen perbelanjaan dan komponen pendapatan. Beberapa cukai baru dijangka akan diperkenalkan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta meningkatkan kadar beberapa cukai lain. Namun, peningkatan kadar cukai dan pengenalan cukai baru mungkin pada keadaan yang berjaga-jaga memandangkan kadar eksport barangan dijangka berkurangan disebabkan kelembapan beberapa ekonomi seperti Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah yang masih berusaha keras untuk pulih daripada krisis ekonomi dan kewangan yang dihadapinya. Oleh yang demikian, ia bukan satu langkah yang mudah yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia juga boleh mengakibatkan penguncupan ekonomi Malaysia.

Justeru, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini seharusnya mendapat sokongan padu daripada rakyat dalam usaha mengurangkan beban hutang kerajaan. Pertumbuhan ekonomi negara juga bergantung kepada pelaburan modal asing yang mana keputusan pelaburan adalah berdasarkan petunjuk seperti penarafan kredit oleh agensi penarafan kredit. Seharusnya isu mengenai cukai GST ini tidak dipolitikkan, sebaliknya dilihat sebagai satu usaha bersepadu rakyat dan kerajaan dalam menjaga kestabilan ekonomi negara. Selain itu, berasaskan ke pada prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, komponen perbelanjaan dijangka akan mengalami perubahan yang sangat minima. Pemberian subsidi dijangka akan lebih terpilih kepada sektor yang mampu menjana pertumbuhan domestik melalui pelaburan disamping usaha mengekang peningkatan dalam kadar inflasi.

No comments:

Post a Comment