Thursday, July 4, 2013

GST bukan untuk bebankan rakyat

by Mahathir Haroun. Posted on July 3, 2013, Wednesday


KUCHING: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukanlah dilaksanakan untuk membebankan rakyat kerana sistem percukaian itu tidak dikenakan terhadap barangan keperluan harian.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sistem percukaian itu bersifat lebih adil dan berkesan kepada masyarakat.

Menurutnya, ia juga bukan cukai tambahan sebaliknya akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan pada masa ini.

“Ia (GST) adalah sistem percukaian yang lebih adil dan berkesan selain bukan untuk membebankan rakyat kerana tidak dikenakan untuk barangan keperluan harian seperti beras, gula dan barangan berkaitan makan.

“Tidak ada apa-apa yang hendak ditakutkan kerana pada masa ini rakyat membayar SST setiap hari dan ia juga bukan cukai tambahan,” katanya pada sidang media di sini malam kelmarin.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan masih belum menentukan tarikh pelaksanaan GST kerana beberapa kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

Tambahnya, rakyat juga perlu terlebih dahulu memahami kaedah GST sebelum ia dilaksanakan.

“Kempen mengenai GST sedang giat dijalankan termasuk menggunakan kaedah komunikasi bagi membolehkan rakyat benar-benar faham,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan bahawa GST berkemungkinan besar tidak akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Saya tidak nampak kemungkinan GST dilaksanakan pada tahun ini,” jelasnya sambil menambah bahawa pelaksanaan GST mungkin diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014.

Menurutnya, GST yang bakal dilaksanakan di Malaysia tidak semstinya akan mengikut model yang dilaksanakan di negara luar.

“Kita ada konsultan yang melaksanakan GST. Tidak semestinya kita ikut model yang dilaksanakan di negara lain,” kata Ahmad.

Pada masa sama beliau menempelak pihak pembangkang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST.

“Tidak bersetuju GST dilaksanakan bermakna kita mundur ke belakang,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Matrang Suhaili dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Datuk Jamaiah Jol.

No comments:

Post a Comment