Wednesday, July 24, 2013

Dasar AS tak jejas Malaysia


2013/07/24 - 06:09:43 AM 
Oleh Mahanum Abdul Aziz | mahanum_aziz@mediaprima.com.my

Kemasukan modal jangka panjang sokong pertumbuhan ekonomi negara

Langkah pengurangan rangsangan ekonomi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin menyebabkan berlakunya pengaliran keluar modal secara besar-besaran dari Asia tidak akan memberi kesan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata negara ini mempunyai kemasukan modal jangka panjang yang kukuh dalam bentuk pelaburan swasta yang mampu menyokong kemapanan pertumbuhan ekonominya. 

Modal tempatan kukuh 

Beliau berkata, pasaran modal tempatan juga adalah kukuh untuk menyerap sebarang pengaliran keluar modal secara besar-besaran kerana sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang tinggi dan lebihan modal tidak bertumpu kepada mana-mana sektor khusus. 

“Kita mempunyai aliran masuk modal jangka panjang kukuh yang mampu menyokong pertumbuhan berterusan. Pada suku pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang diluluskan ialah RM49.3 bilion, mewakili peningkatan 44 peratus dalam tempoh yang sama 2012,” katanya pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-17 di Kuala Lumpur semalam. 

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Michael Yeoh dan Pengarah ASLI/Penasihat Kumpulan Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam. 

Ahmad Husni berkata, ekonomi negara berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun ini didorong ekonomi domestik yang kukuh meskipun berdepan kemerosotan eksport. 

Beliau berkata, pengukuhan ekonomi negara pada masa ini disokong perbelanjaan awam, pelaburan dan penggunaan swasta yang kukuh. 

Capai sasaran defisit empat peratus 

“Kita yakin kita dengan mudah boleh mencapai pertumbuhan lima peratus tahun ini. Pada suku pertama lalu, kita mencapai pertumbuhan 4.1 peratus. Kebiasaannya, kita mula agak perlahan tetapi akan menjadi lebih baik pada suku berikutnya,” katanya. 

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga yakin dapat mencapai sasaran defisit empat peratus tahun ini berdasarkan aliran tunai semasa yang kukuh hasil usaha kerajaan meningkatkan pendapatan negara. 

Kerajaan katanya, sedang mengkaji pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi dalam meningkatkan lagi pendapatan negara. 

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, sektor kewangan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dengan menyumbang 12 peratus kepada KDNK negara. 

Beliau berkata, sistem perbankan negara juga adalah pemangkin bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor ekonomi yang lain dengan memastikan peruntukan modal dan sumber yang optimum. 

“Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 yang dibangunkan Bank Negara Malaysia mengukuhkan lagi inisiatif kerajaan untuk memacu Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment