Saturday, October 16, 2010

Penangguhan GST disambut baik


ARKIB : 15/10/2010


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pengumuman Kementerian Kewangan semalam untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disambut baik ramai pihak yang menganggapnya sebagai tindakan tepat oleh kerajaan dalam melindungi kepentingan rakyat.

Pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, walaupun pelaksanaan GST diperakui mampu meningkatkan pendapatan negara tetapi kajian mendalam terhadap impaknya kepada kuasa beli rakyat perlu dijalankan terlebih dahulu.

"Banyak pihak mempertikaikan GST kerana mekanisme pelaksanaannya yang dilihat kurang jelas dan boleh menjejaskan kuasa beli rakyat memandangkan kos sara hidup di negara ini secara umumnya masih tinggi.

"Saya berpendapat buat masa ini GST bukanlah satu keperluan kerana fokus kerajaan sepatutnya adalah merangsang pertumbuhan ekonomi melalui kaedah meningkatkan penggunaan domestik iaitu kuasa beli rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman penangguhan GST semalam bagi membolehkan rundingan lebih inklusif dengan semua lapisan masyarakat diadakan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan langkah itu diambil kerajaan yang mahu mengambil kira kepentingan dan kebajikan setiap lapisan masyarakat supaya pelaksanaan GST kelak diterima baik oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berpendapat GST kurang sesuai dilaksanakan buat masa ini dalam keadaan ekonomi yang masih dalam proses pemulihan.

"Saya mencadangkan GST ditangguhkan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan," ujarnya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud turut menyambut baik langkah penangguhan pelaksanaan GST yang disifatkan sebagai beban terbaru yang perlu digalas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.


"Setiap tahun rakyat membayar pelbagai cukai sama ada secara langsung atau tidak langsung walaupun ada sesetengah pihak yang mendakwa cukai berkenaan tidak membebankan rakyat," katanya.

"Justeru, kebajikan golongan yang pendapatan rendah perlu diambil kira sebelum sesuatu perkara penting seperti pelaksanaan cukai baru diputuskan," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berpendapat, langkah penangguhan itu membuka ruang untuk perbincangan lebih mendalam mengenai pelaksanaan GST dan kesannya kepada rakyat Malaysia.
"Kita sebenarnya sudah mempunyai terlalu banyak cukai dan pelaksanaan GST mungkin dilihat membebankan 70 peratus rakyat negara ini yang tidak mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan setiap bulan.

"Kita perlu memikirkan perasaan akar umbi dalam isu ini terutama jika mereka berasakan ia tidak memberi manfaat kepada diri dan keluarga sedangkan peningkatan mendadak harga barang menimbulkan kemarahan ramai pihak," tegasnya.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menganggap isu utama pelaksanaan GST adalah bagaimana tahap pemahaman rakyat mengenai cukai tersebut.

"Bukannya masalah cepat atau lambat, tetapi masalah penerimaan rakyat dan peniaga yang rata-rata tidak begitu memahami fungsi dan tujuan GST yang dikhuatiri akan membawa kepada kenaikan harga barang sekali lagi.

"Oleh itu, kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada tahap pemahaman dan menjelaskan tentang GST kepada umum supaya tidak berlaku salah faham tentang pelaksanaannya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm#ixzz2WRsF4PmX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 comments:

  1. Indon pun dah buat GST..mau tunggu Timor Leste buat GST baru kita follow ke..Jangan tangguhkan perlaksanaan GST ni lagi...

    ReplyDelete
  2. Peminat Hyundai RawangJune 17, 2013 at 3:34 PM

    Perlukah ditangguh lagi perlaksanaan GST? Patutlah Hyundai Mahal..

    ReplyDelete
  3. Keta BLM dah murah bang RM33K je..x payah tunggu GST dah,,boleh la tukar Hyundai tu

    ReplyDelete
  4. Perlu ditangguhkn lg sehingga penguatkusaan pemantauan harga diwujudkan. Cukup la dgn kenaikan harga brg disebabkn harga minyak naik & gaji kakitangan awam naik. Peniaga akan sentiasa mencari peluang utk naik kn harga brg.... Rakyat akan hilang kepercayaan nnti.....

    ReplyDelete
  5. Bila agaknya pemantauan & penguatkuasaan nak diwujudkan?? sampai negara abis duit jd mcm Greece?

    ReplyDelete