Monday, May 20, 2013

Pelan GST BN tekan rakyat bawahan


Muhammad Faizal,20 Mei 2013
PETALING JAYA: Penurunan cukai korporat dan cukai pendapatan sebagai 'off-set' kepada perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya membantu orang kaya namun pada masa sama memberi tekanan kepada rakyat bawahan.

Ini kerana hanya sekitar 10 peratus daripada rakyat negara ini yang membayar cukai tersebut sedangkan rakyat yang berpendapatan rendah akan menerima kesan paling teruk kerana mereka terpaksa membayar GST sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. 

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, kelemahan kerajaan BN dalam pentadbiran serta urus tadbir kewangan menyebabkan mereka ingin segera melaksanakan GST.

Menurutnya, BN kini sedang cuba mengatasi krisis fiskal negara akibat kelemahan mereka sendiri khususnya asas cukai yang lemah, pembaziran perbelanjaan dan rasuah yang ketara.

Wong Chen berkata krisis kewangan ini boleh dielakkan dengan menghapuskan projek-projek mega yang tiada manfaat atau mempunyai kos yang berlebihan dan dengan menangani rasuah secara serius.

"Jika kerajaan tidak dapat membuktikan mereka mampu mengurangkan pembaziran dan membanteras rasuah dengan berkesan, kerajaan tidak mempunyai hak untuk memperkenalkan GST," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sementara itu mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, yang membayangkan kerajaan mungkin melihat kepada kadar 7 peratus, berdasarkan model Singapura, Wong Chen pandangan itu dilihanta sangat membimbangkan.

Katanya, Singapura memperkenalkan GST pada tahun 1994 lagi dengan kadar permulaan yang rendah iaitu 3 peratus sahaja dan ia mengekalkan kadar tersebut selama sembilan tahun sebelum membenarkan peningkatan kepada 4 peratus pada tahun 2003.

Wong Chen mempersoalkan jika kerajaan berminat untuk menjadikan Singapura sebagai model, maka GST perlu dibuat pada kadar 3 peratus untuk tempoh selama sembilan tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment