Saturday, May 7, 2011

PAP diramal terus berkuasa


ARKIB : 06/05/2011


SINGAPURA 5 Mei – Walaupun hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-16 republik ini akan berlangsung tiga hari lagi, namun bahang kempen seakan tidak dirasai kerana tidak banyak poster atau sepanduk kelihatan.

Malah pemerhatian Utusan Malaysia di sebuah restoran mamak di Jalan Sultan juga mendapati para pelanggannya tidak mempunyai keghairahan untuk berbual soal politik.

Ini mungkin didorong kerana kepercayaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan terus memenangi pilihan raya pada Sabtu ini, sekali gus mengekalkan pemerintahan sejak republik itu berpisah dari Malaysia pada 1965.

Seorang kakitangan swasta berusia lingkungan 50-an yang hanya mahu dikenali sebagai Jamal ketika ditemui berkata, lagi pun rakyat Singapura rata-ratanya tidak mempunyai masalah dengan pemerintahan PAP.

“Mampu memiliki rumah sendiri dan rakyat juga dapat bekerja, sebenarnya tiada isu,” katanya yang akan mengundi di Kawasan Pilihan Raya Berkumpulan (GRC) Nee Soon.

Apabila ditanya mengenai isu orang Melayu yang turut mendapat perhatian pembangkang, bapa kepada tiga anak ini memberitahu, tiada apa yang perlu dibangkitkan berhubung perkara tersebut.

‘‘Memanglah sedikit sebanyak ada contohnya kesukaran orang Melayu memohon kerja di syarikat Cina tetapi masalah sama pun berlaku di Malaysia,” katanya yang enggan memberikan nama penuh dan gambarnya dirakam.

Bagaimanapun seorang lagi penduduk berketurunan Melayu, Wahid, mengharapkan pembangkang memenangi lebih banyak kerusi agar pengaruh PAP dapat dikurangkan.

“Kalau tidak kerajaan PAP sesuka hati naikkan harga barangan dua hingga tiga kali ganda tetapi paras gaji masih sama. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun naik lagi baru-baru ini.

“PAP buat keputusan mendadak kerana mereka mempunyai majoriti besar di Parlimen, mudah saja lulus tetapi keadaan akan jadi berbeza kalau pembangkang menang dua atau tiga GRC,” katanya.

Menurutnya, kempen atau lebih dikenali sebagai rapat pilihan raya mendapat sambutan seperti di Beduk pada beberapa hari lalu yang dipenuhi beratus-ratus orang.

Sama seperti yang lain kerana tidak mahu nama penuh dan gambarnya disiarkan, dia menyatakan berlainan dengan Malaysia, ahli politik Singapura tidak boleh sesuka hati melontar tuduhan kerana takut disaman berjuta-juta dolar sehingga diisytihar muflis.

“Mereka (ahli politik) kena cakap fakta, tidak boleh cakap sebarangan kerana kalau ada yang salah selesai pilihan raya saja terus kena tangkap, perkara ini banyak kali berlaku,” katanya. – Utusan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0506&pub=utusan_malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm#ixzz2WRvjyuF9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 comments:

  1. Aircond Keta SejukJune 17, 2013 at 3:33 PM

    DAP and PAP parti yang sama ideologi...

    ReplyDelete
  2. Samrtphone Grand RawangJune 17, 2013 at 3:39 PM

    Jika Pembangkang mengambilalih kerajaan, adakah GST akan dimansuhkan?

    ReplyDelete
  3. Bro. of course! come join us on Blackout Campaign!! Say NO to BN!

    ReplyDelete
  4. Ramesh! i cant see u??? it's blackout! lol!!!

    ReplyDelete