Wednesday, March 28, 2012

Pakatan tetap tolak pelaksanaan GST


Hazayani Zakaria,28 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat tetap berpendirian menolak cadangan kerajaan untuk melaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak munasabah GST dilaksanakan dalam pada kadar pendapatan rakyat tidak meningkat.

"Alasan kita ialah orang yang tidak membayar cukai itu umumnya bawah kategori yang miskin. Apa yang dicadangkan BN ialah memperluas jumlah pembayar cukai baru yang melibatkan golongan miskin.

"Selagi kadar pendapatan mereka tidak meningkat, tidak munasabah untuk melaksanakan sistem ini," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Justeru kata Ketua Pembangkang itu, bagi memastikan GST tidak dilaksanakan, rakyat mesti menolak BN pada Pilihan raya Umum ke-13.

"Maka Pakatan Rakyat tegas dengan pendirian kita menolak cadangan BN untuk melaksanakan GST dan caranya dengan tumbangkan BN," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, GST akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif.

Katanya, pelaksanaan GST akan mewujudkan ruang untuk negara menurunkan cukai korporat dan individu.

No comments:

Post a Comment