Saturday, March 10, 2012

Mengapa Malaysia tidak akan bankrap


Publication: BH
Date of publication: Mar 19, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 002
Byline / Author: Oleh idris Jala


SAYA sering ditanya mengapa saya berkata Malaysia mungkin bankrap menjelang 2019. Saya dilayangkan pelbagai pertanyaan yang meminta perkongsian penerangan dan ini menjadi satu 'blues' transformasi saya.

Bagi mencartakan perjalanan transformasi pada 2009, satu tindakan pertama yang diambil oleh PM dan Kabinet ialah menyenaraikan status terkini kita; menetapkan hala tuju dan menetapkan satu program transformasi untuk menjamin kita mencapainya.

Satu daripada pelbagai kepentingan dalam senarai itu ialah merasionalkan subsidi. Maka, kami menjalankan makmal untuk perkara ini.

Sewaktu hari terbuka, kami berkongsi cadangan makmal berkenaan rasionalisasi subsidi bersama pengunjung. Saya ingin berterus terang dan menekankan akibat jika tiada tindakan diambil.

Mungkin saya terlalu berterus terang. Tetapi, apa yang saya katakan disalahgambarkan beberapa kali. Sejak itu, saya dibebani dan terikat dengan masalah yang tidak perlu.

Kaki pengkritik cuma menekankan sebahagian kecil daripada pembentangan pertama iaitu ketika saya menyatakan keperluan mengubah cara perbelanjaan kita untuk mengekalkan pertumbuhan fiskal.

Dengan berlatar belakangkan kaveat dan beberapa syarat, saya berkata, kita akan bankrap menjelang 2019 JIKA kita terus meningkatkan subsidi dan pinjaman seperti mana kita lakukan sebelumnya dan JIKA perkembangan ekonomi tahunan kita kurang daripada tiga peratus.

Saya berkerja di Shell lebih 20 tahun, syarikat yang terkenal bagi teknik perancangan senario. Kata orang biasa, perancangan senario bermaksud gambaran masa depan yang mempunyai kemungkinan sama ada 'baik, buruk atau dahsyat' dan melakukan yang terbaik untuk mencapai 'senario baik' dan menghindarkan 'buruk dan dahsyat'.

Kenyataan saya berdasarkan kaveat tetapi hanya sedikit atau tiada rujukan dibuat terhadap kaveat yang jelas dikemukakan.

Saya masih berpegang teguh kepada apa yang saya ucapkan dan adalah penting untuk kenyataan itu diambil bersama syarat yang dinyatakan. Kenyataan ini sudah terlalu kerap dicedok di luar konteks sehinggakan saya naik 'blues' - berbuih mulut menerangkan apa sebenarnya yang saya maksudkan!

Biar saya dengan jelasnya menerangkan bahawa niat saya pada waktu itu ialah menggambarkan akibat sekiranya tiada tindakan diambil ketika berhadapan dengan keputusan yang sukar. Kita tidak boleh terus memberikan subsidi seperti mana sekarang.

Ingin saya jelaskan juga bahawa buat masa ini, kerajaan tidak menghadapi masalah kewangan yang kronik. Malah, kewangan kerajaan dalam keadaan baik. Namun, dalam situasi membabitkan kewangan, memang ada kemajuan yang boleh diusahakan.

Inilah sebabnya. Pada akhir 2011, hutang negara ialah 53.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara dan defisit belanjawan lebih baik daripada sasaran KDNK, 5.4 peratus.

Bandingkan ini dengan hutang Greece yang mencecah 110 peratus daripada KDNK dan defisit belanjawan sehingga 13 peratus. Memang jelas kita jauh daripada berdepan dengan krisis.

Ramai ahli ekonomi di seluruh dunia menyarankan agar kerajaan berhati-hati terhadap peningkatan hutang negara. Pada 2009 - perangkaan semasa saya bercakap tentang rasionalisasi subsidi diambil dari tahun ini - kita terpaksa meningkatkan perbelanjaan Kerajaan melalui 'pakej rangsangan ekonomi' apabila berdepan dengan krisis kewangan dunia yang disebabkan masalah gadai janji subprima di Amerika Syarikat.

Kesan ini dirasai sehingga 2010. Namun begitu, hutang berdasarkan peratusan daripada KDNK mulai seimbang sementara defisit belanjawan, yang juga berdasarkan peratusan KDNK, mula turun dengan ketara dan ekonomi negara kita terus berkembang. Kita sedang memperbaiki keadaan.

Dalam sistem yang mudah untuk menilai sama ada sesebuah negara itu terbabit dalam krisis hutang, Boston Consulting Group (BCG) menggunakan gambaran grafik untuk mengenal pasti beberapa negara yang berpotensi menghadapi masalah.


Hutang negara sebagai peratusan daripada KDNK diplotkan pada paksi menegak manakala lebihan atau defisit dalam belanjawan negara sebagai peratusan daripada KDNK diplotkan pada paksi mendatar.

BCG mengenal pasti potensi untuk berdepan dengan masalah apabila hutang negara pada tahap 100 peratus atau lebih daripada KDNK dan apabila mengalami defisit belanjawan pada tahap 10 peratus atau lebih daripada KDNK (rujuk kepada carta).

Semakin banyak sesebuah negara berada di sebelah kiri carta serta lebih tinggi pada paksi menegak, semakin tinggi risiko berhadapan dengan krisis hutang. Tetapi, harus diingatkan bahawa sesebuah negara mesti berhadapan dengan masalah di kedua-dua arena ini untuk dianggap sebagai berisiko besar.

Jika anda ambil Singapura sebagai contoh, hutang negara sebagai peratusan daripada KDNK ialah 100 peratus - dalam kawasan yang bermasalah tetapi hanya satu daripada dua kriteria - hampir tidak ada defisit belanjawan di republik itu. Tiada siapapun yang menganggap Singapura sebagai sebuah negara yang menghadapi masalah kewangan.

Bagi Malaysia, adalah penting untuk kita sedari bahawa negara bergerak ke sebelah kanan pada 2011 berbanding 2009 dan 2010 manakala kita hampir tiada pergerakan menaik.

Ia menunjukkan satu anjakan ke arah yang betul. Berdasarkan analisis ini, kita lebih baik daripada beberapa negara seperti UK, Amerika Syarikat, Sepanyol, Itali, Portugal dan Jepun. Kita akan sampai ke dalam zon selamat tidak lama lagi.

Masalah yang saya tekankan mengikut perangkaan 2009, dengan kaveat JIKA hutang terus meningkat pada tahap sebelumnya, kita boleh berdepan dengan masalah yang serius pada 2019 dan JIKA kita berkembang kurang daripada tiga peratus setahun, sudah tidak wujud lagi.

Mengapa? Kerana kita sudah membuat penambahbaikan di kedua-dua kriteria. Pertama, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, pada 2010, kami memulakan proses untuk mengurangkan subsidi secara beransur-ansur untuk bahan api, gula, elektrik dan sebagainya, dengan mengetahui sepenuhnya bahawa langkah ini tidak popular.

Kedua, KDNK kita meningkat sebanyak 7.2 peratus pada 2010 dan 5.1 peratus pada 2011 dan ini merupakan purata sebanyak 6.2 peratus; kita mencapai sasaran ETP. Sudah tentulah, kita boleh dan perlu melakukan lebih banyak lagi.

Seperti yang saya jelaskan dalam pembentangan sebelumnya, hanya sedikit saja daripada subsidi kita yang berjumlah berbilion ringgit setiap tahun dinikmati golongan miskin, kebanyakannya dikecapi golongan kaya.

Kita mesti merasionalisasikan sistem subsidi - bukan memansuhkannya - dan menghentikan perbelanjaan yang tidak berkenaan. Walau bagaimanapun, kita terus membantu golongan miskin melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan (PTK) seperti program AZAM dan BR1M bagi isi rumah berpendapatan rendah dan program infrastruktur luar bandar.

Pada masa sama, kita perlu meningkatkan sumber pendapatan kerajaan dengan memperkenalkan langkah seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi. Kita boleh memastikan barangan keperluan tidak dikenakan cukai.

Kami melihat hasilnya. Kami mempunyai Program Transformasi Ekonomi dan kami sedang meningkatkan hasil - kami mendapat tambahan hasil cukai sebanyak RM26 bilion pada 2011. Ini membenarkan kami untuk membiayai program yang mengutamakan Rakyat seperti BR1M.

Jika kita terus membuat kemajuan dalam aspek ini, kita mungkin dapat mengimbangkan belanjawan menjelang 2020 walaupun itu akan mengatasi sasaran kita sendiri.

Saya tahu tentu ada pengkritik yang mengatakan bahawa saya mengubah pendapat saya mengenai isu kebankrapan. Saya tidak mengubah pandangan saya terhadap perancangan senario.

Saya sentiasa percaya dalam menghuraikan senario 'baik, buruk dan yang dahsyat' (ini tidak pernah berubah) iaitu senario 'baik' jika kita berjaya melaksanakan ETP, kita akan mencapai status pendapatan tinggi menjelan Senario 'buruk atau dahsyat' berlaku jika kita tidak berbuat apa-apa untuk mengelak, maka barulah kita boleh bankrap.

Hakikatnya ialah kita melakukan banyak perkara untuk mengubah negara kita. Jadi, kita tidak akan bankrap. Dengan pelaksanaan ETP, kita mesti mengakui ba-hawa Malaysia berada di landasan yang betul dalam transformasi ekonomi.

Purata perkembangan KDNK tahunan dalam 2 tahun (2010 dan 2011) melebihi enam peratus. Pada 2011, kami mencapai sasaran Pendapatan Negara Kasar dan sasaran pelaburan, perdagangan mencapai rekod tertinggi sebanyak RM1.27 trilion pada tahun 2011.

Kami telah mengurangkan defisit kita pada tahun 2011. Pada bulan April, PM kita akan melancarkan laporan tahunan ETP dan GTP yang menyediakan semua butir-butir pencapaian negara kita.

Izinkan saya mengakhiri lafaz salam saya dengan memetik kata-kata Dale Carnegie, 'Memang tragik apabila kita menangguhkan kehidupan. Kita impikan taman ros ajaib di ufuk langit dan terlepas menikmati bunga ros yang mekar hanya di luar tingkap'.

* Datuk Seri Idris Jala adalah CEO Pemandu dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri. Komen yang munasabah dialu-alukan di idrisjala@pemandu.gov.my

No comments:

Post a Comment