Thursday, October 14, 2010

Memacu kemajuan mapan


ARKIB : 13/10/2010


Pada hari Jumaat ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2011. Cakap-cakap mengenainya sudah mula kedengaran sejak beberapa minggu yang lalu sama ada daripada aspek pencukaian dan galakan sehinggalah soal bonus untuk kakitangan kerajaan.

Bajet 2011 amat penting sebagai landasan utama Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun ini. Tahun depan juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Kelihatan dengan jelas sekali enam bulan pertama tahun ini, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan diramal mudah melepasi enam peratus pertumbuhan tahunan.

Namun, cabaran utama ekonomi Malaysia pada tahun depan adalah untuk mencapai kadar pertumbuhan enam peratus ini dan mengurangkan defisit pada tahap terendah. Tahun lepas sahaja, defisit negara berada pada kadar 7.2 peratus.

Defisit negara perlu dikurangkan kerana ia akan memberi impak negatif kepada kemapanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Lebih-lebih lagi, ketidaktentuan ekonomi global dijangka berlaku pada tahun depan yang mana ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah bakal berhadapan dengan pengangguran yang berpanjangan.

Di samping itu, perang mata wang di antara kuasa-kuasa besar ekonomi dunia akan memberi kesan secara tidak langsung kepada ekonomi Malaysia. Malaysia perlu mempersiapkan diri dalam menghadapi sebarang kejutan ekonomi bagi memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi dapat dicapai.

Bajet 2011 sewajarnya memberi perhatian kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Keutamaan sudah tentu akan diberikan kepada sektor pendidikan. Negara memerlukan para pekerja yang berdaya saing dan kompeten. Langkah menarik diaspora rakyat Malaysia patut dijadikan elemen utama dalam memperkasakan daya saing pekerja tempatan dan meningkatkan lagi peluang pekerjaan untuk rakyat.

Selain itu, sektor teknologi hijau disebut-sebut akan mendapat "durian runtuh" dalam Bajet 2011. Kelestarian alam sekitar cukup penting dewasa ini. Maka, teknologi hijau merupakan satu jawapan yang tepat bagi memastikan kelestariannya.


Tidak ketinggalan, Bajet 2011 sewajarnya memberi perhatian untuk meningkatkan pelaburan dan pemintaan domestik. Insentif-insentif terbaru patut diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pada masa yang sama, masih ada ruang lagi untuk kerajaan menurunkan kadar cukai korporat bagi meningkatkan pelaburan domestik. Sebagai peneraju utama sektor ekonomi, insentif dan bantuan patut disalurkan sepenuhnya kepada sektor swasta.

Bagi meningkatkan permintaan domestik melalui kuasa beli pengguna yang tinggi, kadar cukai individu juga patut diturunkan. Bantuan juga seharusnya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar yang terlibat dalam sektor pertanian. Strategi-strategi ini bakal meningkatkan lagi perbelanjaan domestik.

Di samping itu, insentif-insentif pencukaian untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan kerjasama strategik yang lebih banyak dengan syarikat dan negara asing mampu membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Satu perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat ialah berkenaan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Impaknya sudah tentu besar sama sekali ke atas pendapatan kerajaan, namun kerajaan juga perlu mengambil kira jangkaan ekonomi pada tahun depan, persiapan yang telah dilakukan dan kesannya ke atas rakyat.

Kantung kerajaan akan meningkat dengan pelaksanaan GST, namun ia sedikit sebanyak juga akan mengurangkan perbelanjaan pengguna dan seterusnya memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan perlu mengenal pasti masa yang paling sesuai untuk melaksanakannya yang mana kesan negatif pelaksanaan GST ke atas rakyat adalah paling minimum.

Bagi memastikan nilai untuk wang dapat diperoleh oleh rakyat, kerajaan seharusnya berhati-hati membelanjakan setiap sen wang rakyat. Ini bukan bermakna, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan kerana ia akan memberi kesan secara langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Malahan, peruntukan Bajet 2011 dijangka lebih tinggi berbanding RM191.5 bilion dalam Bajet 2010. Apa yang penting, kerajaan seharusnya mengurus wang rakyat secara berhemah.

Umpamanya, tahun depan merupakan tahun sebelum pelaksanaan bajet berasaskan hasil (outcome) ke atas kementerian-kementerian yang terpilih. Sistem bajet ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2013.

Inilah cara untuk mengurus perbelanjaan bajet. Amalan ini bakal menjelmakan nilai untuk wang secara berkesan, cekap dan ekonomik.

Pembaziran wang rakyat akan memberi kesan secara tidak langsung ke atas defisit negara. Sebarang projek dan program yang bakal dilaksanakan pada tahun depan mestilah berlandaskan kepada kos efektif yang menguntungkan rakyat.

Wang yang dijimatkan boleh disalurkan untuk mengurangkan jurang pendapatan di antara rakyat Malaysia dengan mengandakan usaha membantu golongan berpendapatan rendah.

Bukan itu sahaja, kerjasama di antara kerajaan, pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh merealisasikan perkara ini agar segala kemajuan dan kemapanan ekonomi dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2WRqvmVnz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment