Friday, August 31, 2012

Malaysia mampu capai sasaran pertumbuhan


Publication: BH
Date of publication: Aug 30, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Shahrizan Salian


Kuala Lumpur: Daya tahan luar biasa ekonomi Malaysia hasil pelaksanaan beberapa program pembaharuan menyeluruh kerajaan meletakkan negara ini pada landasan kukuh mencapai sasaran pertumbuhannya tahun ini, kata penyedia analisis dan maklumat ekonomi antarabangsa, The Economist Group.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Tenggara dan Asia Selatan Economist Corporate Network, Justin Wood, berkata unit penyelidikan ekonomi kumpulan itu yang menerbitkan majalah perniagaan, The Economist menimbang meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 4.8 peratus hingga 4.9 peratus tahun ini.

Prestasi mantap

Katanya, semakan semula unjuran itu akan dibuat susulan prestasi mantap ekonomi Malaysia seperti ditunjukkan pada separuh pertama tahun ini.

Malaysia menunjukkan peningkatan daya tahan disokong perbelanjaan domestik yang kukuh serta pertambahan pelaburan ke dalam aset tetap seperti infrastruktur, hartanah dan jentera, katanya pada taklimat tinjauan ekonomi Malaysia anjuran Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, di sini, semalam.

Wood berkata, The Economist Group mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia pada 4.7 peratus tahun ini, iaitu penurunan kecil berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan penerbitan itu mengunjurkan ekonomi Malaysia akan kembali mencatatkan aliran kukuh sehingga 2016 dengan purata pertumbuhan sekitar 5.5 peratus bermula tahun depan.

Dijangka berkembang

Ekonomi Malaysia agak mengejutkan kerana menunjukkan peningkatan dari segi daya tahan. Perbelanjaan domestik berterusan kukuh dan dijangka berkembang sekitar tujuh peratus setahun, sekali gus lebih pantas daripada pertumbuhan KDNK.

Kedudukan itu menambah lagi daya tahan ekonomi negara ini ditambah pula dengan cerita pelaburan memberangsangkan, katanya.

Kekal OPR

Wood berkata, Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus sehingga tahun ini, sebelum inflasi dijangka meningkat tahun depan berikutan kemungkinan berlaku perubahan struktur subsidi kerajaan serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Secara keseluruhannya, Bank Negara telah melakukan kerja yang cemerlang dengan melaksanakan dasar yang betul pada masa yang sepatutnya, katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelabur melihat program pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan sejak dua tahun lalu sebagai antara faktor penting keputusan pelaburan mereka di negara ini.

Ekonomi Malaysia kukuh dan pelaburan langsung asing (FDI) terus meningkat. Semua ini disebabkan keprihatinan kerajaan terhadap setiap maklum balas pelabur asing sebelum ini, katanya.

Beliau berkata, satu daripada kriteria paling penting yang dikehendaki pelabur asing dalam sesebuah negara adalah kestabilan politik diiringi dasar yang jelas sebagai satu pakej.

INFO

Ekonomi Malaysia

= Pertumbuhan separuh pertama: 5.1 peratus
= Pertumbuhan suku pertama: 4.8 peratus
= Pertumbuhan suku kedua: 5.4 peratus

No comments:

Post a Comment