Wednesday, September 12, 2012

Lagi gesaan kurangkan cukai korporat


Publication: BH
Date of publication: Sep 11, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 004


PERSEKUTUAN Pekilang-pekilang Malaysia FMM) mengulangi gesaan supaya kerajaan memperkenal cukai korporat yang lebih kompetitif dalam Bajet 2013.

Naib Presiden Raja Datuk Abdul Aziz Raja Muda Musa, berkata pengeluaran adalah sektor yang sangat penting, dengan menyumbang kira-kira 29 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK).

Selain mengurangkan cukai korporat, kami juga berharap kerajaan menawarkan insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI), katanya.

Dalam bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen ada 28 September ini, Abdul Aziz berharap kerajaan akan mengurangkan cukai korporat bagi menarik lebih banyak FDI selain menyediakan insentif untuk bersaing dengan negara lain.

Pelepasan cukai

Insentif yang dijangkakan ialah pelepasan cukai bagi pemasangan mesin dan peralatan baharu dan insentif menaik taraf kilang pengeluaran, katanya. Abdul Aziz berkata, walaupun penurunan cukai korporat akan mengurangkan pendapatan kerajaan, kekurangan itu boleh diimbangi dengan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kita perlu mengkaji pelaksanaannya di negara lain sebelum menyemak semula cukai korporat supaya ia dapat menarik pelaburan, katanya.

Walaupun FMM kerap menggesa kerajaan menyemak menurun cukai korporat sebelum ini, cukai korporat Malaysia masih pada 25 peratus.

No comments:

Post a Comment