Sunday, March 28, 2010

KDNK lebih rendah 2011


ARKIB : 27/03/2010


Selena Ling


KUALA LUMPUR 26 Mac - Malaysia dijangka mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah kepada 5.0 peratus tahun depan selepas mencatat 5.4 peratus tahun ini, kata OCBC Bank.

Pakar Ekonomi OCBC Ltd., Selena Ling berkata, penurunan kecil itu dijangka berlaku disebabkan oleh penarikan balik pakej rangsangan oleh kerajaan berikut terdapatnya pemulihan ekonomi.

Mengulas perkembangan pada tahun ini, beliau berkata, unjuran pertumbuhan positif itu berdasarkan tanda-tanda ekonomi yang menggalakkan, terutamanya kegiatan eksport berikutan permintaan global yang meningkat untuk minyak sawit dan elektronik.

"Sentimen pasaran kini lebih diyakini disebabkan keadaan ekonomi semasa dunia yang kian pulih dan pengumuman Model Ekonomi Baru minggu depan.

"KDNK bertambah baik sejak separuh kedua tahun lalu dan momentum dijangka berterusan sehingga tahun ini," katanya pada sidang akhbar tinjauan ekonomi 2010 OCBC Bank, di sini hari ini.

Ling berkata, sektor pembinaan dilihat sebagai penyumbang terbesar untuk menjana ekonomi negara, tahun ini.

"Sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kami menjangka pelaburan akan ditumpukan terhadap penaiktarafan infrastruktur di Malaysia.

"Kebanyakan negara-negara jiran turut mengambil peluang seumpama ini berikutan kos yang lebih rendah ketika ini," katanya.

Ditanya lebih lanjut tentang kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara sekiranya pakej rangsangan ditarik balik, beliau berkata, ia bergantung kepada dua faktor iaitu persekitaran dalaman dan juga luaran.

"Secara wajarnya, KDNK didorong oleh pertumbuhan asas yang lebih besar daripada sektor pengeluaran dan perkhidmatan yang dilihat lebih sihat dan bukan sahaja didorong oleh faktor pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Ling, penarikan balik pakej rangsangan tidak mungkin berlaku pada tahun ini.

"Penarikan balik terlalu awal mungkin memperlahankan momentum pertumbuhan daripada kerancakan pada separuh pertama memasuki separuh kedua tahun ini," jelas beliau.

Katanya, OCBC juga menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada kadar 2.75 peratus pada hujung tahun ini.

"Kami mengunjurkan inflasi kekal sederhana pada 2.5 peratus berikutan pengurangan harga subsidi minyak dan penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0327&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WQxYVJsc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment