Tuesday, June 1, 2010

Jelaskan kepada rakyat mengenai isu subsidi


ARKIB : 31/05/2010


Subsidi dan rakyat negara ini ibarat lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan. Gula, tepung, minyak, ubat sehingga baja tanaman pun diberi subsidi.

Subsidi yang ingin dimansuhkan oleh kerajaan sudah kedengaran di sana dan sini. Apa yang kita bimbangkan adalah ia bakal dipolitikkan demi kejayaan Pilihan Raya Umum Ke-13 di pihak pembangkang.

Kenyataan dan komen daripada pihak kerajaan tentang pentingnya subsidi dimansuhkan sedikit demi sedikit bertujuan mengelakkan negara ini jatuh bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi.

Namun adakah kumpulan yang terkesan iaitu rakyat Malaysia yang hampir 30 juta orang kesemuanya dapat memahami kesan penghapusan subsidi yang telah dinikmati sejak zaman sebelum penjajah lagi.

Soal subsidi dimansuhkan tidak kira secara lump-sum atau ansuran bukan perkara pokok. Apa yang menjadi kegusaran rakyat negara ini adalah apakah fenomena subsidi minyak yang tidak dapat ditampung mengulang skrip malang tahun 2007-2008.

Kata orang, usah dikenang perkara yang lepas. Namun sejarah perlu mengajar kita bukan kita sahaja yang perlu mengajar orang lain mengenai sejarah setiap masa.

Subsidi bukan perkara ekonomi yang semberono kerana rakyat yang mengundi tidak mahu tahu kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan tetapi bagaimana kerajaan mengatasi kesusahan itu. Ia adalah asas utama pembentukan konsep subsidi.

Rasanya dalam mana-mana sejarah kempen pilihan raya, tidak pernah rakyat didedahkan bahawa GST baik untuk mereka, subsidi baik untuk dimansuhkan dan MBE (Modal Baru Ekonomi) akan mementingkan agenda semua rakyat sahaja kerana perkara tersebut terlalu akademik untuk diterangkan kepada mereka.

Rakyat cuma mahu setiap sen yang mereka peroleh sebagai pekerja digunakan sepenuhnya tanpa mereka mengeluh sukar mendapat barangan kerana apabila barang seperti gula tiada subsidi, adakah terjamin gula yang sering 'hilang' di pasaran akan sentiasa ada apabila persaingan antara pengeluar mahupun pengimport lebih terbuka selepas subsidi dihapuskan.

Rakyat perlu dijelaskan secara penerangan besar-besaran sama ada secara pembentangan di Parlimen mahupun penerangan dari satu kelompok komuniti ke satu kelompok lain. Dari tengah kesibukan kota metropolitan Kuala Lumpur hingga ke pedalaman Kuala Tahan dan Ulu Tembeling mahupun di Long Pasia, Sabah dan Tebedu, Sarawak.

Subsidi yang menjadi ibarat tilam selesa rakyat kita mengulit mimpi indah perlu dijelaskan mengapa ia perlu dihapuskan kerana kenaikan harga minyak yang gagal diserap kerajaan bukan sahaja menyebabkan majoriti kerusi BN di Dewan Parlimen menyusut, malah sejak dari itu tuntutan-tuntutan politik yang tersasar daripada Perlembagaan Negara terus didendangkan oleh pihak pembangkang.

Tidakkah kita sedar bahawa dalam kita menguar-uarkan negara sebagai negara ke- 10 paling berdayasaing di dunia, rakyat didendangkan korus lagu 'tanpa subsidi ekonomi kita akan jadi lebih baik', sedangkan inilah masanya untuk jentera pembangkang membaca skrip sama tahun 2008 dengan mengatakan sebaliknya.

Jika niat kerajaan telus untuk menghapuskan subsidi demi kebaikan rakyat dan negara, maka satu kempen bersandarkan pembentangan pemansuhan subsidi di Parlimen perlu diadakan. Sesi penerangan segera dari semasa ke semasa dalam kalangan rakyat perlu dilaksanakan. Kita perlu menyedarkan rakyat, subsidi baik untuk jangka pendek kepada kerajaan dan rakyat tetapi bagi jangka panjang, rakyat dan kerajaan sendiri akan menanggung beban kewangan negara yang tinggi. Di masa itu, kita akan mendapati negara kita akan menghadapi masalah bukan sahaja dari segi ekonomi, malahan masalah sosio-politik yang meruncing.

Saluran media lama dan baru seperti TV dan Internet perlu menjadi wadah untuk menerangkan kepada orang ramai bahawa mekanisme tertentu akan digunakan untuk memastikan subsidi yang dimansuhkan itu akan memberi keuntungan kepada mereka.

Soal sama ada persaingan harga barangan yang berdaya saing mahupun infrastruktur negara semakin meningkat apabila kantung kerajaan penuh untuk memenuhi tuntutan pembangunan pesat dan rakyat semakin mudah melakukan kegiatan ekonomi, selain banyak wang boleh digunakan untuk memakmurkan negara, hanya pihak kerajaan dapat menyampaikan mesej itu kepada rakyat.

Jangan biarkan subsidi menjadi modal politik pembangkang, cukuplah dua tahun lalu minda rakyat dipesongkan hanya kerana harga minyak dan barang naik.

Jelaskan kepada rakyat, subsidi melemahkan kita dan bukan menguatkan kita secara kendiri.

ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor Darul Ehsan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0531&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz2WRHP0wLo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment