Friday, January 1, 2010

Implikasi cukai, subsidi kepada negara


ARKIB : 31/12/2009


Cukai dan subsidi sering menjadi topik utama dalam perbahasan mengenai ekonomi Malaysia. Kedua-duanya memberi kesan kepada sumber kewangan kerajaan dan rakyat secara langsung.

Semasa pembentangan Bajet 2010, kerajaan mengumumkan bahawa semua urus niaga penjualan hartanah dikenakan cukai lima peratus.

Namun, kerajaan sekali lagi mengambil langkah untuk menarik balik cukai tersebut bagi penjualan hartanah yang dimiliki melebihi lima tahun. Selain itu, semua hotel yang menjalankan proses pengubahsuaian akan mendapat potongan cukai sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Kedua-dua pengumuman ini bakal mengurangkan sumber pendapatan kerajaan.

Jadi aspek manakah yang lebih penting? Merancakkan sektor hartanah dan sektor pelancongan atau memperolehi sumber pendapatan yang lebih melalui cukai?

Inilah satu keputusan yang cukup penting bagi mana-mana kerajaan. Keputusannya mestilah tepat dan pada masa yang sama memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jika kerajaan tidak mempunyai sumber yang mencukupi, bagaimana pula kerajaan ingin "memulangkan kembali" kepada rakyat?

Maka, sekali lagi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2011.

Tahun ini sahaja, dianggarkan kutipan cukai bagi kerajaan berkurangan sebanyak RM2.7 bilion. Apabila GST dilaksanakan nanti, kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih kurang RM1 bilion.

Bagi rakyat, cukai adalah satu perkara yang boleh mengurangkan sumber kewangan mereka. Tetapi rakyat juga perlu ingat, mereka bertanggungjawab untuk membayar cukai, jika tidak sesebuah kerajaan yang gah macam mana sekalipun tidak mampu untuk melaksanakan semua dasar dengan lancar jika "ongkosnya" tidak mencukupi.

Bayangkan juga terdapat individu yang tidak mahu membayar cukai. Mereka inilah golongan yang berasakan hasil yang mereka perolehi tidak perlu disumbangkan kembali kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, sejauh manakah jumlah cukai yang rakyat sanggup bayar?

Bagi subsidi, perkara sama juga berlaku. Kerajaan sudah memberi beberapa petanda bahawa subsidi minyak akan diberikan kepada golongan sasaran sahaja. Perkara ini amat menarik perhatian rakyat. Pertama, tujuannya agar hanya golongan sasaran sahaja yang memperolehi subsidi minyak.

Kedua, kerajaan tidak lagi menanggung beban kewangan yang besar termasuk untuk memberi subsidi kepada orang kaya dan juga warganegara asing. Namun, seperti biasa dua perkara yang amat dikhuatiri oleh rakyat. Adakah benar golongan sasaran sahaja akan memperolehi manfaatnya kerana dikhuatiri berlakunya ketirisan?

Ketiga, tidakkah harga barang akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku pada tahun lepas, apabila kerajaan meningkatkan harga minyak pada tahap tertinggi dalam sejarah. Inilah satu lagi dilema yang mana kerajaan perlu membuat keputusan dengan tepat bagi memastikan segala perancangan dan strategi yang benar-benar berkesan dapat dilaksanakan.

Topik subsidi bukan hanya terletak pada subsidi minyak sahaja, subsidi gula juga diperbincangkan sehingga kerajaan sekali lagi mengumumkan bahawa subsidi gula tidak akan ditarik buat masa ini.
Bermakna, sumber kewangan kerajaan akan digunakan untuk membayar subsidi tersebut. Akibatnya, projek-projek lain untuk rakyat akan terkena tempiasnya.


Bagi penulis, tidak kiralah cukai dikenakan dan subsidi ditarik balik, yang pasti, kerajaan perlu berusaha dengan lebih gigih untuk merealisasikan tiga perkara ini.

Pertama, usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat pada tahap berpendapatan tinggi merupakan satu inisiatif yang mengutamakan rakyat. Jika rakyat mempunyai pendapatan per kapita cukup tinggi, maka rakyat tidak keberatan untuk membayar cukai dan subsidi yang ditarik.

Tetapi pendapatan sahaja tidak mencukupi jika perkara kedua, iaitu harga barangan berada pada tahap yang sentiasa meningkat. Ambil sahaja contoh mudah harga barangan sebelum harga minyak naik pada tahap tertinggi tahun lepas berbanding dengan masa sekarang.

Ini bermaksud, harga minyak amat memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan akhirnya boleh memberi kesan kepada sumber kewangan rakyat. Maka, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Anti Mengaut Keuntungan Berlebihan merupakan satu lagi usaha yang bakal mengekang harga barangan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Akta ini diperkenalkan seiring dengan GST. Namun, apa yang rakyat inginkan sudah tentu dari segi penguatkuasaan akta ini dengan cekap dan berkesan apabila sampai masanya.

Apa-apa pun dasar dan pengumuman mengenai cukai dan subsidi mestilah dilaksanakan secara lembut dan berperingkat-peringkat agar rakyat boleh menerimanya. Jika terlalu mengejut dan rakyat sendiri tidak diberi peluang untuk memberi maklum balas, rakyat pastinya berasakan tindakan itu tidak wajar dilaksanakan.

Satu cara untuk mendapatkan maklum balas rakyat ialah seperti mengadakan Hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diadakan baru-baru ini. Satu usaha yang mengembalikan "kuasa" rakyat untuk memberi maklum balas terhadap sebarang cadangan dan tindakan kerajaan. Perkara ini perlu diteruskan secara konsisten.

Perkara ketiga berkaitan dengan mata wang Malaysia. Bagi menjadikan Malaysia negara maju, mata wang kita juga sewajarnya kukuh dan bernilai tinggi berbanding mata wang negara lain.

Ketiga-tiga perkara inilah yang sewajarnya diberi perhatian segera untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada tahap negara maju. Ketiga-tiga ini berkait langsung dengan kuasa beli rakyat.

Jika kuasa beli rakyat Malaysia cukup tinggi, cukai dan subsidi tidaklah begitu menggusarkan kerajaan mahupun rakyat sebagaimana yang terjadi pada masa kini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1231&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2WRnpzwqP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment