Sunday, June 2, 2013

GST untuk laksana janji PRU BN?


Muhammad Faeez Azahar,02 Jun 2013
IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak menyifatkan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini adalah cara kerajaan untuk mengutip dana bagi merealisasikan segala janji pada PRU13 lalu.

Bendaharinya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar(gambar) berkata, BN sangat terdesak untuk menunaikan pelbagai janji termasuklah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang masih ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Menurutnya, BN mengakui perlaksanaan GST sangat memberi kesan kepada masyarakat khususnya orang miskin namun itu adalah cara untuk mereka mencari dana bagi menunaikan segala janji.

“Mereka terdesak untuk tunaikan janji-janji mereka pada PRU13 lalu terutama pemberian BR1M, oleh itu mereka terpaksa ‘merompak’ rakyat secara tidak disedari melalui cukai GST,” katanya kepada media.

Fakhrulrazi menjelaskan, perlaksanaan GST adalah strategi mudah untuk BN meluaskan kutipan cukai meskipun mereka tahu kaedah tersebut merupakan satu kezaliman kepada rakyat Malaysia.

Katanya, negara ini tidaklah terlalu terdesak untuk mengukuhkan ekonomi memandangkan Malaysia mempunyai hasil mahsul yang cukup banyak.

“Negara ini mempunyai pelbagai hasil mahsul yang boleh menjana pendapatan Negara, justeru tidaklah terlalu mendesak sampai sanggup menzalimi rakyat dengan melaksanakan satu sistem cukai yang sangat membebani rakyat.

“Jika negara ini tidak mengamalkan pemerintahan yang korup dan pemimpinnya amanah, sudah pasti ekonomi dapat dijana dengan lebih baik,” jelasnya lagi.

Kata beliau, dengan perlaksanaan cukai ini, semua rakyat terpaksa menanggungnya termasuklah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah pasti sangat terbeban lebih-lebih lagi dalam suasana kos taraf hidup yang semakin meningkat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan dibawah pimpinan Dato’ Seri Najib Razak tidak seharusnya meneruskan hasrat untuk melaksanakan cukai tersebut.

“Cukuplah dengan beban yang telah dipikul oleh rakyat, jangan terus menzalimi rakyat dengan perlaksanaan cukai ini.

“Rakyat dalam keadaan sangat terbeban, seharusnya kerajaan mengurangkan beban rakyat, bukannya terus membebankan rakyat,” tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment