Wednesday, May 22, 2013

GST: Rakyat miskin pun kena bayar cukai


Dr Rosli Yaakop,22 Mei 2013
Kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF) mahu semua negara di dunia melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP - Goods and Services Tax) dengan alasan supaya sistem pencukaian menjadi seragam di seluruh dunia “to create a more level playing field amongst trading nations.” IMF mendakwa bahawa sistem cukai langsung yang masih diamalkan oleh banyak negara sedang membangun telah digunakan untuk “menyorokkan” dasar perlindungan perdagangan yang mereka amalkan. Ia memberi contoh cukai yang tinggi dikenakan oleh sesetengah negara sedang membangun ke atas otomobil import telah menghalang pertandingan sihat di dalam industri otomobil dunia dan memaksa penduduk sesebuah negara sedang membangun menggunakan kereta keluaran dalam negara sendiri yang bermutu rendah berbanding kereta import dari negara maju. IMF berpendirian bahawa CBP pro-perdagangan bebas dan setiap negara – miskin atau kaya - hendaklah melaksanakannya. Penulis menghidu maksud tersirat dari dasar ini tidak lain ialah untuk mengekalkan penguasaan blok Barat ke atas ekonomi dunia.

IMF sudah menggesa Malaysia supaya segera melaksanakan CBP dan kerajaan sudah bersedia untuk tunduk kepada gesaan itu seawal tahun 2005 lagi.

Ketika membentang Belanjawan 2005, Menteri Kewangan mengumumkan CBP bakal dilaksanakan di Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2007, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, berikutan penentangan kuat rakyat, maka pada 22 Februari 2006, kerajaan mengumumkan penangguhan.

Selepas lebih tiga tahun dibekukan, kerajaan menghidupkan semula rancangan untuk melaksanakan CBP bila mana pada Disember 2009, Bil CBP dibentangkan untuk pembacaan kali pertama di parlimen diikuti pembacaan kali kedua pada April 2010. Namun, sehingga sekarang ia belum dilaksanakan, mungkin kerana kerajaan kurang yakin pelaksanaannya akan diterima baik oleh rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke tiga belas yang berlangsung pada 5 Mei 2013, sudah ada bayangan bahawa CBP bakal dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini kerana dengan berbekalkan 133 kerusi parlimen yang dimenangi, kerajaan merasa cukup yakin bahawa ia sudah mendapat sokongan rakyat terbanyak untuk melaksanakannya. Sebelum PRU13, kerajaan ini tidak berani untuk melaksanakan CBP kerana penentangan kuat rakyat boleh diterjemahkan kepada kekalahan pilihan raya.

Seperti yang bayangkan oleh Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdan Menteri (lihat Business Times, 18 Mei 2013 – “GST can generate RM27b in revenue”), kadar CBP bakal ditetapkan pada 7 peratus, iaitu, 3 poin peratusan lebih tinggi dari kadar yang pernah disebut sebelum ini. Pada kadar 7 peratus, dianggarkan Malaysia akan menjana hasil tambahan sebanyak RM27 bilion. Pernah disebut oleh Perdana Menteri bahawa hasil yang dijana dari pelaksanaan CBP akan digunakan untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan membina infrastruktur.

Di bawah sistem CBP semua rakyat - ada pendapatan mahupun tiada pendapatan - kena membayar cukai, tiada kecuali, kerana tiada siapa pun di dalam sesebuah ekonomi yang tidak menggunakan barangan dan perkhidmatan. Orang termiskin di dalam ekonomi membayar cukai ke atas barangan yang mereka gunakan sama seperti orang yang terkaya kerana tiada siapa pun yang terlepas dari menggunakan sesuatu di dalam sesebuah ekonomi.

Dalam sistem pencukaian yang diamalkan sekarang, hanya individu yang pendapatannya melebihi “threshold income” yang ditentukan yang membayar cukai. Atas asas ini dikatakan hanya 1.5 rakyat Malaysia yang membayar cukai kerana berpendapatan melebihi “threshold income” yang ditentukan. Di bawah CBP, tiada “threshold income” bermakna, 29 juta rakyat Malaysia kena menanggung beban cukai. Lagipun, cukai korporat dan cukai pendapatan individu akan di kurangkan bermakna beban golongan yang membayar cukai selama ini akan menjadi ringan. Beban itu dipindahkan kepada rakyat Malaysia yang selama ini tidak pernah membayar cukai. 

Golongan yang tidak membayar cukai sekarang akan membayar cukai bila CBP dilaksanakan. Kira-kira 32 peratus dari jumlah isi rumah (household) di Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang tidak membayar cukai pendapatan. Mereka ini akan menjadi pembayar cukai apabila CBP dilaksanakan. Mereka membayar cukai atas barang yang tiada dalam senarai barang dikecualikan di bawah CBP seperti pakaian, permainan kanak-kanak, makanan yang diproses, makanan dalam tin dan sebagainya yang mereka gunakkan. Ini bermakna, golongan berpendapatan rendah dan golongan yang “economically vulnerable” dalam masyarakat terpaksa menanggung beban cukai. 

Ahli ekonomi dan pencukaian mengakui bahawa CBP adalah satu sistem pencukaian yang “regressive” yang bermakna ia tidak adil. Semakin rendah pendapatan seseorang maka semakin besarlah bahagian pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Atau kebalikannya: semakin tinggi pendapatan seseorang maka semakin kecillah bahagian daripada pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Jelas, CBP membebankan golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam masyarakat. Hal ini bertentangan dengan ciri sistem pencukaian yang adil, iaitu, sesuatu sistem cukai yang hendak dilaksanakan perlu memiliki sifat “progressive.” 

IMF mengakui sifat regresif pada CBP ini dan mencadangkan supaya diwujudkan senarai barangan dan perkhidmatan bagi menangani kelemahan ini. Secara amnya, barang makanan asas dan keperluan-keperluan asasi dikeluarkan daripada senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai di bawah CBP. Ini masih tidak memadai untuk mengurangkan sifat regresif itu kerana di bawah CBP, orang kaya dan orang miskin membayar cukai yang sama kadarnya. Seorang peminta sedekah apabila membeli sebotol minuman ringan membayar cukai yang sama seperti yang dibayar oleh seorang taukeh judi yang kaya raya apabila membeli sebotol minuman ringan yang sama. 

Di bawah CBP, semua orang membayar cukai pada kadar yang sama, tidak kira kaya atau miskin, walhal sistem pencukaian yang adil menghendakki orang kaya dan orang yang mampu membayar cukai (berpendapatan melebihi “threshold income” yang ditentukan) dikenakan cukai supaya hasil cukai dapat dijadikan alat fiskal yang berkesan untuk mencapai agihan pendapatan dan kekayaan negara yang lebih merata, adil dan saksama. Sistem cukai yang progresif juga menjamain bahawa semakin tinggi pendapatan seseorang, maka semakin tinggilah beban cukai yang ditanggungnya. Oleh itu, CBP yang bersifat regresif ini hanya akan membebankan rakyat terbanyak dan melebarkan lagi jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin. 

Memang diakui oleh ahli ekonomi dan pakar pencukaian bahawa CBP adalah “inflationary.” CBP ialah “consumption tax” dikenakan ke atas kesemua (kecuali barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan) barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di dalam negera mahupun yang diimport. Juga, ia adalah “multi-tier stages of tax“ dikenakan ke atas setiap peringkat pengeluaran sesuatu produk daripada bahan mentah sehinggalah ke produk siap (finished products). Walau wujud “credit offset mechanism” di bawah CBP, namun, pada perkiraan mutakhirnya, penggunalah yang menanggung beban cukai. Misalnya, apabila cukai 7 peratus dikenakan ke atas perkhidmatan pengangkutan, kos pengangkutan akan naik dan ini akan membawa kenaikan kepada harga seluruh barangan dan perkhidmatan di dalam ekonomi termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai. Akhir, rakyat terbanyak akan menanggung beban kembar “kena bayar cukai dan kena tanggung inflasi.” Lagi sekali, beban ini mengena lebih teruk kepada golongan miskin berbanding golongan kaya. 

Memang, dari sudut hasil kerajaan, CPB ada kebaikannya, misalnya, ia mengurangkan kebergantungan besar ke atas cukai langsung dan cukai petroleum, menjamin sumber hasil yang lebih stabil bagi kerajaan berbanding cukai pendapatan dan oleh kerana CBP berasaskan kepada penggunaan, hasil kurang terjejas oleh kemelesetan ekonomi kerana apabila ekonomi meleset, penggunaan biasanya mampu bertahan. 

Benar, tetapi di bawah kerajaan yang korup, manfaat ini tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat terbanyak. Apakah gunanya hasil yang tinggi jika sebatang screw driver yang harganya RM25 dibeli melalui tender pada harga RM200? Apakah manfaatnya kepada rakyat apabila membeli kapal selam pada harga berkali-kali ganda lebih mahal kerena menteri mahukan komisyen? Apakah gunanya membina stadium yang mahal tetapi runtuh atapnya? Perkara yang meruncing di dalam ekonomi Malaysia sekarang ia menghasilkan pulangan maksimum ke atas setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan, bukan memaksa rakyat yang tidak mampu membayar cukai untuk membayar cukai. Sesungguhnya, CBP adalah cukai yang menzalimi rakyat berpendapatan rendah dan miskin. Yang beruntung besar adalah orang kaya dan syarikat multinasional kerana cukai korporat dan cukai pendapatan direndahkan.

No comments:

Post a Comment