Wednesday, June 12, 2013

GST pemangkin pembangunan ekonomi


Publication: BH
Date of publication: Jun 11, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: OlehJeong Chun Phuoc

Saya merujuk artikel 'Pengguna dapat manfaat daripada GST' (BH-21 Mei 2013, muka surat 28) dan kritikan seleweng yang menyatakan bahawa cukai GST membebankan rakyat.

Sebenarnya, kelebihan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 146 negara sejak 1954, termasuk Singapura sebagai contoh yang terdekat. Indonesia melaksanakan GST pada 1984 dan Singapura pada 1993 (Chapter 117A). Bagaimanapun, Malaysia, Brunei dan Myanmar belum mengikut jejakGST.

Antara kelebihan dan keburukan cukai GST, kelebihan GST lebih terserlah. Bahkan, keburukan GST, jika ada, hanya pada mekanisme pelaksanaan cukai GST, audit GST dan pematuhan sahaja, bukan pada hakikat dasar GST.

Pengguna tak faham kebaikan GST

Menurut Berita Semasa di lamanweb http://beritasemasa.com/cukai-barang-perkhidmatan-gst melalui undian yang merujuk kepada laporan berita Malaysia GST (Goods Service Tax) Akan Dilaksanakan Tidak Lama Lagi. Elak Malaysia Bankrap!!! daripada 606 responden, sejumlah 79 peratus tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST. Responden yang tidak setuju sebenarnya tidak faham peranan cukai GST. Pendapat melulu bahawa pengenalan GST hanya akan menekan kumpulan majoriti rakyat Malaysia adalah suatu pendapat yang tidak berpandukan fahaman cukai GST yang dinyatakan dalam buku Revenue Law In Singapore and Malaysia, 3rd Edition, Lexis Nexis Malaysia oleh pakar cukai Senior Profesor Dr Leo Desmond Pointon dan Jeong Chun Phuoc.

Tambahan, kritikan bahawa GST adalah regresif dan pada dasarnya akan melihat majoriti rakyat Malaysia membayar lebih cukai juga tidak berpandukan bahan rujukan cukai yang tersohor.

Kadar empat peratus atau tujuh peratus GST yang dibayangkan kerajaan hanyalah cadangan yang boleh diperkemaskan dengan merujuk kepada kajian awal pelaksanaan di Singapura, dan juga di Eropa (sama erti dengan cukai 'VAT'/ Value Added Tax) dan negara Komanwel yang mengamalkan sistem cukai GSTuntuk mendapat ilham.

Pelaksanaan awal cukai di negara republik pada peringkat awal boleh dikaji untuk menjamin pelaksanaan cukai GST tanpa masalah teknikal. Masalah teknikal boleh dilicinkan dengan pembentukan bantuan teknikal di jabatan cukai peringkat negeri seperti bantuan teknikal untuk orang ramai pada peringkat awal.

Pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia akan dapat menambah pendapatan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion sebaik sahaja mencapai tempoh matang jika cadangan GST dilaksanakan adalah berpandukan kajian pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan impaknya kepada sektor industri dan SMEs.

Sebenarnya, kadar rendah dua sehingga tiga peratus boleh juga diterima pakai dalam pelaksanaan fasa pertama.

Pengecualian barang keperluan asas

Perlu diingatkan cukai GST dikecualikan ke atas barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, minyak masak, ikan, daging dan ayam, dan produk pertanian seperti padi, sayuran, makanan (dikenali sebagai barangan dan perkhidmatan yang berkadar sifar - Zero-rated Supplies dan Exempt Supplies. Ini nyata meringankan bebanan rakyat khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah dalam konteks Indeks Harga Pengguna (IHP).

Sebagai kesimpulan, GST suatu bentuk cukai yang boleh membetulkan asas cukai yang lemah, pemangkin sektor perindustrian dan ekonomi negara, dan meringankan bebanan cukai rakyat. Impak pembaziran perbelanjaan, krisis fiskal dan tindakan kurang sesuai dalam pengurusan kewangan tidak boleh disabitkan dengan peranan cukai GST.

Jeong Chun Phuoc
Pensyarah Kanan, Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment