Thursday, July 19, 2012

GST masih dalam proses penerangan


Publication: BH
Date of publication: Jul 18, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 002


Kerajaan masih lagi dalam proses memberi penerangan kepada semua pihak berhubung cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ia bagi memastikan semua pihak benar-benar mempunyai pengetahuan menyeluruh mengenai sistem percukaian baru itu.

Perlu diingatkan, kita mahu semua pihak memahaminya. Apabila semua pihak menyatakan ia boleh diteruskan, maka kerajaan akan melaksanakannya.

Meskipun setakat ini rundingan dengan persatuan tidak semudah seperti dijangkakan, namun maklum balas mereka adalah sangat baik, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Bacaan kali kedua ditangguh

Rang Undang-undang GST dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadual pada Mac 2010 telah ditangguhkan.

Pada awalnya, ia dijadual dilaksanakan pertengahan tahun lalu bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mengenai bila bacaan kedua rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk dibahas, Ahmad Husni berkata, kerajaan belum membuat keputusan mengenainya.

Penerangan mencukupi

Sementara itu, Presiden Institut Percukaian Berkanun Malaysia (CTIM), SM Thanneermalai, berkata langkah kerajaan membabitkan semua pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan melaksanakan GST adalah wajar kerana ia adalah bidang percukaian yang menjadi penanda aras baru.

Beliau berkata, penangguhan itu akan memberikan pihak berkuasa masa mencukupi untuk menerangkan mekanisme serta struktur percukaian GST kepada semua pemegang kepentingan.

Harus diingat kita adalah antara beberapa negara yang tidak mempunyai GST, namun ia tidak bermakna kita perlu tergesa-gesa. Masa yang mencukupi akan memastikan kelancaran pelaksanaannya, katanya.

Info

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

* GST menggantikan SST yang diperkenalkan sejak 1972.
* GST digunakan di 143 negara
* Pengecualian diberikan ke atas barangan keperluan asas.

No comments:

Post a Comment