Monday, July 1, 2013

GST: Kerajaan BN hanya tangguh saja


Harakahdaily,30 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Keikhlasan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah dalam memberi jawapan di Parlimen pada 27hb Jun 2013 berkenaan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST amat dicurigai. 

Majoriti rakyat tidak mahu GST dilaksanakan tetapi Husni disyaki bersikap tidak jujur dalam jawapan Parlimen beliau, kata Liew Chin Tong (gambar), ahli Parlimen DAP kawasan Kluang.

Husni memaklumkan Dewan Rakyat bahawa “Kerajaan sekarang sedang melaksanakan kajian mengenai GST yang mana ianya berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga semasa. Kajian sebelum ini yang telah dibuat pada tahun 2009, adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga pada masa tersebut. 

"Oleh kerana terdapatnya perubahan kepada keadaan ekonomi dan perubahan harga, maka kajian semula perlu dijalankan. Sehubung dengan itu, Kerajaan belum menetapkan lagi bila GST akan dilaksanakan.”

Bagi Liew, dua masalah besar timbul dari jawapan beliau tersebut.

Pertama, jawapan Husni ini boleh dibaca sebagai tanda Kerajaan hanya menagguhkan sementara pelaksanaan GST. Ini bererti GST boleh dilaksanakan pada bila-bila masa difikirkan perlu oleh Kerajaan BN.

"Kerajaan perlu ingat bahawa ia akan membangkitkan kemarahan rakyat jika GST dilaksanakan. Kita semua tahu bahawa melalui bayaran BR1M sebelum ini, Kerajaan telah memaklumkan bahawa 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tidak melebihi RM 3,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan.

Ini bermakna 60 peratus rakyat Malaysia berpendapatan rendah rendah. Hujah kononnya barangan rakyat berpendapatan rendah dikenakan kadar sifar GST adalah tidak realistik, katanya. 
Walaupun barangan kadar sifar GST, golongan berpendapatan rendah - golongan 60 peratus penerima BR1M – akan dikenakan GST untuk barangan dan perkhidmatan lain.

Bagi beliau, pelaksanaan GST tentu akan menyebabkan taraf kehidupan golongan 60 peratus ini terjejas kerana mereka yang selama ini tidak dikenakan cukai pendapatan akan terpaksa membayar cukai melalui GST.

Justeru, pendapatan boleh guna (disposable income) golongan ini akan berkurangan akibat kutipan GST. Apabila pendapatan boleh guna golongan 60 peratus ini terancam ia bermakna pertumbuhan ekonomi kita akan terjejas. 

"Ini adalah kerana dalam keadaan eksport kita yang menurun, perbelanjaan dan penggunaan tempatan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Jadi jika Kerajaan tetap mahu melaksanakan GST, ia bererti bukan sahaja Kerajaan akan menambah derita golongan berpendapatan rendah, ia juga akan membebankan Kerajaan sendiri kerana ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara," katanya.

Kedua, jawapan Parlimen dari Husni yang mengatakan bahawa kajian GST hanya dilakukan pada tahun 2009 juga tidak benar. 

Menurutnya, di atas nama “Panel Kajian Semula Cukai (GST)”, sejumlah RM22 juta diperuntukkan pada tahun 2010, RM13 juta pada tahun 2011, RM11 juta pada tahun 2012 dan RM5 juta pada tahun 2013, iaitu jumlahnya RM51 juta dalam empat tahun, telah digunakan dalam Belanjawan-Belanjawan sejak 2010 untuk kajian perlakasanaan GST. 

Pada tahun 2013, satu perkara perbelanjaan bertajuk “Perluasan Dasar Cukai” (Kod 100600) yang bernilai RM 50 juta juga disyaki ada kena-mengena dengan pelaksanaan GST. 

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Kewangan supaya: 

Mengumumkan hasil kajian panel tersebut sejak 2009; kerana kami Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia tidak mahu lagi Kerajaan merahsiakan kajian GST kerana ia melibatkan kesejahteraan rakyat terbanyak; 

Mengumumkan pihak konsultan yang terpilih untuk menjalankan kajian tersebut kerana ini juga perlu diketahui oleh rakyat Malaysia; 

Memberi penjelasan lanjut sama da jawapan Parlimen dari Husni hanya bertujuan menyembunyikan hasrat Kerajaan untuk melaksanakan GST atau tidak; 

"Dan kalau jika Kerajaan BN benar-benar mahu melaksanakan GST, satu jawatankuasa pilihan Parlimen yang merangkumi Ahli-ahli parlimen dari kedua-dua pihak – BN dan Pakatan Rakyat – perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti pandangan rakyat Malaysia," katanya.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

No comments:

Post a Comment