Saturday, May 18, 2013

Malaysia capai bajet lebihan menjelang 2020


 Oleh Mahanum Abdul Aziz

Malaysia bukan saja mampu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, malah mencatatkan bajet lebihan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala. 

Beliau berkata, sejak Datuk Seri Najib Razak meneraju kepemimpinan negara, Perdana Menteri telah memenuhi janjinya untuk mengurangkan defisit bajet secara beransur apabila ia telah menunjukkan penyusutan tahun demi tahun, tetapi tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. 

Tahun lalu, defisit bajet ialah 4.5 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan tahun ini kita menjangkakan ia turun lagi kepada empat peratus. 

Pasti capai sasaran 

Dengan segala usaha yang sedang dilaksanakan, saya pasti kita boleh mencapai bajet lebihan itu menjelang 2020, katanya pada forum bertajuk PRU-13 - Apa Maknanya Untuk Perniagaan di Kuala Lumpur semalam. 

Idris yang juga adalah Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) menjelaskan, kerajaan sebenarnya boleh memilih untuk mengurangkan defisit bajet secara mendadak dengan mengurangkan perbelanjaan atau menyuruh PETRONAS menambah pengeluaran dan penjualan minyak dan gas negara, tetapi tindakan itu adalah tidak baik untuk negara. 

Sebaliknya, menurut beliau kerajaan memilih untuk mengurangkannya secara beransur demi menjamin kemampanan pertumbuhan ekonomi, pada masa sama memastikan sumber negara dapat terus dinikmati untuk tempoh jangka panjang. 

Nisbah hutang kekal 

Idris turut menafikan dakwaan bahawa janji yang dibuat oleh kerajaan sebelum pilihan raya akan meningkatkan nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK daripada 53 peratus sekarang. 

Tegasnya, kerajaan komited untuk mengekalkan hutangnya di bawah paras 55 peratus berbanding paras maksimum yang telah ditetapkan sebelum ini. 

Pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, apabila saya mencadangkan mekanisme Malaysia yang menetapkan 55 peratus sebagai paras siling bagi nisbah hutang berbanding KDNK, ramai pakar ekonomi dan pemimpin dunia berkata itu adalah mustahil. 

Ini kerana Malaysia adalah amat unik kerana hutangnya masih di bawah paras 55 peratus, katanya sambil memberikan contoh yang mana negara seperti Singapura (nisbah hutang berbanding KDNK adalah 100 peratus), United Kingdom (80 peratus) dan Perancis (81 peratus). 

Idris turut menjelaskan bahawa Malaysia akan dapat menambah pendapatan antara RM20 bilion sehingga RM27 bilion jika cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus dilaksanakan seperti di negara jiran, Singapura. 

Tingkat perbelanjaan 

Beliau berkata, dengan pendapatan tambahan itu kerajaan boleh meningkatkan perbelanjaan bagi kesejahteraan rakyat. 

Jika regim cukai baharu itu diperkenalkan, kerajaan juga telah memberikan komitmen untuk menurunkan cukai korporat dan juga cukai pendapatan peribadi. Ini menunjukkan kerajaan mahukan keseimbangan dalam setiap langkah yang diambilnya, sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik, katanya sambil menegaskan bahawa GST hanya dilaksanakan apabila rakyat sudah bersedia menerimanya. 

Mengenai pegangan kerajaan dalam perniagaan, Idris berkata ia akan terus dikurangkan lagi tahun ini dan pada masa akan datang. 

Beliau berkata, kerajaan telah pun mengurangkan, malah menarik keluar kepentingannya dalam 13 syarikat daripada 33 yang dikenal pasti oleh PEMANDU. 

Kita mengadakan mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri semua ketua syarikat yang berkaitan mengenai perkara ini. 

Kerajaan berhasrat menghentikan peranannya dalam perniagaan, tetapi ini tidak boleh dilakukan dalam sehari. Di samping itu, ada beberapa perniagaan yang memerlukan kerajaan terbabit disebabkan kepentingannya dalam kehidupan rakyat Malaysia, tegasnya.

No comments:

Post a Comment