Saturday, June 1, 2013

GST masih diperhalusi


Publication: HM
Date of publication: May 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 061
Byline / Author: Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Cyberjaya: Kerajaan tidak akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam jangka masa terdekat kerana ia masih dalam peringkat kajian untuk mengenal pasti kesan dan kadar yang akan dilaksanakan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan masih berunding dengan ahli politik, sektor swasta dan awam sebelum membuat apa-apa keputusan.

Kami belum memutuskan mengenai GST kerana kami perlu mengkaji semula perkara itu. Kami kini dalam proses mengkajinya dari sudut menyeluruh.

Semua tindakan diambil perlu dilihat bukan saja dari segi perolehan kerajaan, malah perlu dilihat dari segi kemakmuran orang ramai, katanya selepas merasmikan mesyuarat ke-19 Kumpulan serantau Asia/Pasifik Institut Bank Simpanan Dunia (WSBI) di sini, semalam.

Menurutnya, selain menjana pendapatan kerajaan, pelaksanaan GST itu juga sejajar hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai peribadi.

Kami juga perlu mengkaji semula dari segi manfaat terhadap kerajaan, sektor swasta dan orang ramai. Malah, kami tidak menetapkan satu tempoh tertentu untuk melaksanakan cukai berkenaan, katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK), Husni berkata, situasi ketika ini adalah perlahan, namun Malaysia masih mampu mencapai pertumbuhan 4.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Berbanding kebanyakan negara berpendapatan tinggi dan sederhana yang lain, mereka terpaksa berusaha keras walaupun untuk mencapai pertumbuhan satu hingga dua peratus.

Melihat kepada keadaan ini, negara menyasarkan KDNK 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini disokong pelaburan dan cukai kerajaan serta penggunaan swasta, katanya.

No comments:

Post a Comment