Thursday, September 27, 2012

Menjelang Bajet 2013: Rakyat tunggu buah tangan istimewa kerajaan


 Kamarulzaidi Kamis | kamarulzaidi@bharian.com.my


Fokus ringankan bebanan golongan berpendapatan rendah tetap diutama

Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok pastinya adalah perancangan kewangan tahunan negara yang paling sukar dibuat oleh kerajaan. 

Ia susulan keadaan ekonomi semasa yang mana negara terpaksa berdepan kesan kekalutan ekonomi global dan pada masa yang sama menangani isu rakyat. 


Pembentangan perancangan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan itu juga dinantikan bukan saja oleh rakyat negara ini, tetapi juga masyarakat antarabangsa khususnya golongan peniaga dan pelabur yang sentiasa memantau perkembangan negara dalam merangka strategi pelaburan masing-masing. 


Agenda penting

Ia adalah satu agenda penting untuk menyaksikan persiapan rapi kerajaan dalam berdepan kesan penurunan permintaan dan pelaburan global ekoran krisis kewangan Eropah yang belum berkesudahan berserta kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan China.

Dalam pada itu, kenaikan kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat juga perlu ditangani dengan bijak supaya ia dapat merangsang ekonomi, justeru, mengukuhkan lagi kewangan kerajaan dalam mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2020.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan secara menyeluruh akan menyebabkan peningkatan jurang kekayaan. 

Imbangi agihan pendapatan 

Dalam konteks ini, kerajaan berperanan penting untuk mengimbangi semula agihan pendapatan supaya semua rakyat mendapat manfaat daripada kemakmuran ekonomi.

Pada masa sama, Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir menyebabkan pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat pula menantikan ‘buah tangan’ istimewa daripada kerajaan.

Akhirnya, esok kita akan menyaksikan rumusan kerajaan dalam mencorak dan mengimbangi antara perbelanjaan untuk menangani masalah masyarakat dengan kemampuan pendapatannya dengan mengambil kira prospek ekonomi untuk tempoh selanjutnya.

Pasti, ia sesuatu yang amat mencabar kerana semua sedia maklum, amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

Kemampuan urus kewangan

Di peringkat antarabangsa, agensi penarafan pula memantau rapat untuk melihat keupayaan kita menguruskan kewangan negara dalam mencapai unjuran pertumbuhan dan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus menjelang 2015.

Perbelanjaan yang keterlaluan akan meningkatkan defisit dan beban hutang negara, yang mana jika terlalu tinggi akan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi Malaysian dalam jangka panjang.

Defisit yang tinggi berpotensi menyebabkan firma penarafan dan badan kewangan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan penarafan kewangan negara, justeru, menjejaskan keyakinan pelabur dan akhirnya memberi kesan negatif kepada ekonomi dan rakyat negara ini.

Durian runtuh

Susulan itu, ketika ramai yang mengharapkan ‘durian runtuh’ sempena pembentangan bajet kali ini, kita juga harus adil dalam meneliti mengenai kesan ke atas ekonomi dan kewangan negara, jika terlalu banyak ‘buah tangan’ diberikan kerajaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini menegaskan, negara komited untuk mencapai sasaran menurunkan defisit negara kepada tiga peratus menjelang 2015 dan anggaran defisit negara tahun ini adalah 4.7 peratus.

Beliau berkata, sasaran itu kekal meskipun negara kini berdepan kesan luaran ekoran krisis kewangan Eropah serta kelembapan ekonomi AS.

Harapan rakyat 

Sementara itu, dari segi harapan rakyat, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank-IB) dalam nota penyelidikannya, berkata Bajet 2013 dijangka terus bersifat mesra rakyat.

“Berdasarkan kajian daripada lebih 4,000 maklum balas dan cadangan yang dikemukakan rakyat dalam blog 1Malaysia milik Perdana Menteri, tiga perkara utama yang rakyat mahu kerajaan tangani ialah isu berkaitan kos hidup dan pendapatan; perumahan dan cukai hartanah serta isu cukai.

“Ia diikuti dengan isu pendidikan, pengangkutan awam dan infrastruktur serta perkhidmatan awam,” kata laporan berkenaan.

TA Research bersependapat dengan Maybank-IB apabila mengatakan bajet kali ini dijangka terus memberi tumpuan kepada rakyat dan pada masa yang sama berhemah dalam perbelanjaan bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mantap dan diyakini.

Bahagian penyelidikan itu berkata, bajet kali ini dijangka memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat dan peruntukannya bertumpu kepada pengembangan ekonomi menerusi pelbagai aktiviti yang digariskan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Sebahagian besar penganalisis tidak menjangkakan sebarang penurunan cukai secara langsung dibuat sehingga regim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Ringankan beban

Namun begitu, mereka berpendapat kerajaan akan terus fokus dalam meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah dalam berdepan kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar besar.

Antara beberapa langkah belanjawan yang secara umumnya dijangka penganalisis tempatan akan dibentangkan Perdana Menteri pada bajet kali ini ialah:

Peruntukan sehingga RM239.9 bilion untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus tahun depan serta mengurangkan defisit kepada 4.3 peratus.
*Lanjutan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia yang mana isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan akan menerima tunai RM500 di bawah skim ‘Bantuan Rakyat 1Malaysia’.
*Lanjutan subsidi bagi isi rumah dengan bil elektrik kurang RM20 sebulan.
*Penubuhan lebih banyak ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’ dan penambahan barangan yang dijual pada harga diskaun.
*Kad keutamaan 1Malaysia yang menyediakan diskaun antara lima hingga 25 peratus bagi pelbagai barangan oleh 20 peruncit pilihan akan dilanjutkan kepada semua rakyat dalam tiga peringkat.
*Bonus setengah bulan gaji dijangka diberi kepada 1.4 juta kakitangan awam.
*Kenaikan duti tembakau antara satu hingga tiga sen sebatang bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.
*Pengumuman selanjutnya berhubung projek infrastruktur dan pembinaan berkaitan sistem transit aliran massa (MRT), Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, projek lebuh raya dan pembangunan luar bandar.

Tangani isu rakyat

Penganalisis berkata, Bajet 2013 akan mampu menangani cabaran dan isu yang dihadapi rakyat negara ini, jika ia memberi lebih tumpuan dalam memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan rendah, meningkatkan standard disiplin dalam pengurusan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan serta komited dalam usaha mengurangkan defisit.

Bajet 2013 adalah agenda yang penting dalam usaha Malaysia mencapai tahap negara maju, sambil memenuhi aspirasi dan kemakmuran rakyat dalam jangka panjang.

No comments:

Post a Comment