Sunday, July 8, 2012

Kunta Kinte original: Sumber penentu integriti berita


2010/07/08 - 22:56:39 PM


APABILA media massa dibagi nasihat atau diarah supaya siar berita berhemah atau berintegriti, Kunta Kinte selalu kata, bukan berita sebenarnya yang utama, tetapi sumber berita. 

Pemberita hanya beritakan apa yang dibagi tahu atau dicakapkan. Dia tak boleh karang sendiri berita dengan tidak ada sumber. Itu bukan berita, tetapi cerita. Berita dan cerita tak sama. Cerita boleh direka. Berita berasaskan fakta. 


Berita kena ada sumber. Tak kiralah sumber itu manusia, dokumen atau kejadian yang pemberita sendiri tengok, macam kemalangan jalan raya. Itu pun dia kena sahkan dan sokong dengan sumber seperti saksi, polis atau pekerja ambulans. 


Memanglah dari awal lagi salah satu tujuan media adalah membina akal budi serta tahap intelektual masyarakat. Itulah matlamat kewartawanan dan persuratkhabaran kita sebelum media massa dan kewartawanan jadi kegiatan ekonomi dan sumber pendapatan. 

Tapi lama kelamaan, bila media massa dan kewartawanan jadi kegiatan ekonomi dan sumber pendapatan lumayan dan ditambah pula dengan kuasa ke atas pendapat umum, mulalah pihak yang ada kepentingan ambil alih dan kawal media. 

Pada pandangan Kunta Kintelah, yang jadi masalah bukanlah sangat media massa tak siar berita berintegriti. Yang jadi masalah adalah sumber berita yang tidak ada integriti atau kurang integriti. 

Ada masa orang yang jadi sumber maklumat itulah orang yang tidak ada integriti, misalnya seorang penjenayah atau seorang yang diketahui amal rasuah. Kerana dia penjenayah atau pengamal rasuah, orang tidak percaya kepadanya, walaupun hujahnya betul dan benar. 

Hujah atau maklumat yang dibagi oleh orang macam itu tidak ada integriti. Di depan boleh jadilah orang angguk pasal dia ada kuasa, tapi di belakang, termasuklah dalam bilik mengundi, orang tolak. 

Maksudnya, fakta yang betul dan benar belum jamin orang percaya kepada sesuatu berita kalau yang bagi fakta itu orang yang tidak ada integriti. 

Yang jadi masalah besar sekarang, pada hemat Kunta Kinte, adalah kurang kepandaian berkomunikasi di kalangan individu atau pihak yang jadi sumber maklumat. 

Bila individu atau pihak yang jadi sumber maklumat tidak pandai berkomunikasi, sama ada kerana dia tidak cerdik atau kerana kurang pengetahuan mengenai komunikasi, maklumat yang betul dan benar pun belum tentu sampai dan dipercayai khalayak. 

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata ramai orang yang hari ini jadi sumber maklumat, sama ada daripada kalangan politik, pentadbiran awam atau profesional, sangat kurang kebolehan berartikulasi. 

Tengok sajalah cara mereka berhujah di radio atau televisyen. Bahasa kucar-kacir, bercampur-aduk Melayu dengan Inggeris. Melayu tak betul, Inggeris lagi teruk. Langsung tak ada gaya. Ini bukan apa, tapi kerana malas berfikir atau tidak diajar berfikir secara sistematik. Proses artikulasi, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan, bermula dengan berfikir. 

Biar secerdik mana pun seseorang itu dilahirkan, dia tidak akan pandai kalau dia tidak belajar. Ilmu dan pelajaranlah yang buat seseorang itu pandai. Daripada proses inilah lahir cerdik pandai yang sandarannya adalah kemampuan mereka berfikir. 

Kita tengok akhir-akhir ini banyak kekeliruan dalam laporan media massa, contohnya mengenai isu cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rasionalisasi subsidi dan pemindahan bangunan Parlimen dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. 

Salah satu sebabnya adalah penghujahan, pemakluman dan artikulasi yang kucar-kacir, tidak lengkap dan hambar. Ada pihak kata GST tambah hasil kerajaan. Ada pula yang kata GST kurangkan hasil kerajaan. 

Ada kata Parlimen akan pindah ke Putrajaya. Ada kata belanja bina Parlimen baru RM800 juta. Ada kata nak guna Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan ada kata belum muktamad. 

Bila rakyat jelata tanya yang mana satu betul, kita janganlah marah sebab sumber maklumat sendiri keliru dan tak pasti. Bila keliru dan tak pasti, susahlah media massa hendak siarkan berita yang berintegriti. 

Apa benda atau perkara pun bila dipertikai atau dipersoalkan, maka kurang atau hilanglah integritinya. Mana-mana pun hujah atau berita yang boleh dipertikai dan disangkal, bukanlah hujah dan berita yang berintegriti. 

Lantiklah banyak mana pun pegawai komunikasi atau setiausaha akhbar dan tubuhlah banyak mana pun agensi seranta, tapi kalau kurang daya berfikir dan berartikulasi, maklumat massa tidak akan berintegriti dan tidak akan dipercayai. 

Lebih-lebih lagilah sekarang apabila kita sedang mengalami ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) yang sangat hebat di mana monopoli ke atas penyebaran maklumat dan hak berartikulasi semakin luntur. 

Kesimpulannya, berita dan maklumat yang berintegriti bermula dengan sumber dan penyampaian yang berintegriti iaitu jelas, pantas dan tegas, tanpa dolak-dalik dan flip-flop.

No comments:

Post a Comment