Wednesday, March 28, 2012

Jangan politikan GST, kata Idris Jala


27 Mac 2012


KUALA LUMPUR -- Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak wajar dipolitikkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, hari ini.

Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan pelaksanaan (Pemandu), berkata GST akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif. 

Pelaksanaan GST akan mewujudkan ruang untuk negara menurunkan cukai korporat dan individu, katanya kepada pemberita selepas memberi syarahan pada Ulang Tahun ke-53 Institut Akauntan Berkanun Bertauliah di sini.

Beliau bagaimanapun berkata GST tidak akan dilaksanakan tahun ini memandangkan ia mengambil masa sekurang-kurangnya setahun dari tarikh pengumuman pelaksanaan sebenar.

GST sebelum ini dijadual dilaksana oleh kerajaan pada tahun lepas bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, namun ditangguhkan. 

Beliau berkata pelaksanaan GST atau turut dikenali sebagai cukai bernilai tambah (VAT), merupakan alat berkesan dalam mengurangkan atau menangani defisit negara.

Defisit fiskal Malaysia pada 2011 susut kepada 5.0 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2010. Ia menyasarkan sasaran defisit sebanyak 4.7 peratus tahun ini.

GST dilaksanakan di 143 negara termasuk Kanada, Australia, Singapura, Hong Kong dan New Zealand. 

"Ini membuktikan perakuan global mengenai perlunya cukai berasas luas dan jika mereka boleh, kita juga boleh lakukan," katanya. 

Idris juga berkata hanya 1.7 juta penduduk membayar cukai, dan memikul beban 28 juta penduduk. 

"Apabila ada cukai penggunaan iaitu GST, kita melebarkan beban secara menyeluruh dan ia memberi peluang kepada kita untuk mengurangkan cukai korporat, syarikat kita akan menjadi lebih kompetitif, membantu mengurangkan cukai pendapatan individu, dan kesemuanya akan menyumbang kepada peningkatan perolehan negara.

"Oleh itu orang ramai perlu diyakini supaya menerima GTS memandangkan ia penting, selain menangani kebimbangan terhadap impak GST ke atas inflasi dan makanan asasi.

"Banyak negara yang melaksanakan GST tidak mengenakan cukai itu ke atas makanan asasi seperti beras," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Idris berkata pendapatan perkapita semasa kini sebanyak US$9,400. Kerajaan yakin dapat menaikkan pendapatan perkapita kepada US$15,000 menjelang 2020.  -- Bernama

No comments:

Post a Comment