Thursday, October 6, 2011

Pantau pelaksanaan Belanjawan 2012


ARKIB : 05/10/2011

SEBENARNYA, tempoh untuk membuat saranan bagi Belanjawan 2012 boleh dikatakan sudah tamat memandangkan draf pembentangan Perdana Menteri juga sudah berada di peringkat tapisan akhir.

Namun, itu tidak bermakna Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menerima cadangan proaktif dan produktif mana-mana pihak terutamanya daripada rakyat jelata.

Gaji, harga barang dan minyak menjadi tiga faktor utama menentukan kos sara hidup rakyat kini tetapi kerajaan sebenarnya hanya boleh mengawal aspek gaji atau pendapatan, itu pun sehingga tahap tertentu sahaja bagi mengelakkan inflasi.

Faktor minyak sememangnya di luar kawalan kerana terpaksa mengikut harga pasaran dunia sementara harga makanan dan kebanyakan produk lain akan mengikut harga minyak memandangkan hampir keseluruhan jentera pengangkutan dan pembuatan masih menggunakan minyak.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek pelaksanaan Belanjawan 2012 untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang masih dalam bidang kuasa kerajaan.

Bagi pemerhati veteran hal ehwal ekonomi negara, Profesor Dr. Amir Baharuddin, bukannya isi Belanjawan 2012 tetapi aspek pelaksanaan selepas pembentangannya adalah yang paling penting.

"Apa sekalipun yang diumumkan dalam belanjawan ini tidak akan menjadi atau memberi kesan jika pelaksanaannya tidak dipantau rapi. Mengikut cara transformasi kerajaan dan ekonomi, biarlah apa yang diumumkan berkesan, menepati sasaran dan paling penting dirasai rakyat yang mengundi kerajaan," tegasnya.

Tambahnya, jika rakyat selesa dan merasai apa dijanjikan, maka mereka akan sayang kerajaan kerana apa yang dikehendaki adalah 'keberkesanan'.

Antara saranan beliau adalah satu mekanisme pemantauan terhadap penyampaian sebarang bentuk subsidi atau insentif yang dijanjikan kepada rakyat agar tidak berlaku ketirisan kepada warga asing atau mereka yang tidak layak.

"Subsidi seperti buku atau komputer riba kepada pelajar juga perlu dipantau rapi bagi memastikan yang layak dan berhak sahaja menerimanya. Perhatikan juga sama ada penerima telah menerima subsidi sama sebelum ini," katanya.

Beliau juga berharap barang atau produk yang dikawal atau ditetapkan harganya dipantau rapi, bukan sahaja di peringkat runcit malahan di peringkat gerai.

Amir turut mencadangkan pemantauan atau kawalan terhadap kadar sewaan dilaksanakan agar penjimatan harga barang tidak diserap pula dengan kos sewa terlalu mahal. Belanjawan 2012 boleh dirosakkan jika kadar sewaan tidak dipantau langsung kerana akhirnya kos itu akan ditolak kepada pengguna melalui kenaikan harga barang yang dijual.

"Kerajaan boleh wujudkan kawalan kadar sewaan memandangkan ada pemaju dan pemilik kini bertindak mengenakan caj sewaan melampau sehinggakan peniaga sendiri tidak mampu membayar sewa," dakwanya.

Dalam aspek pemantauan, beliau mencadangkan kementerian berkenaan menggunakan sepenuhnya kerjasama pengguna selaku agen pemantau pasaran dengan menyediakan tempat membuat aduan.

"Memandangkan mekanisme pemantauan dan kawalan sukar dilaksanakan kerana kekurangan tenaga kerja, kementerian berkenaan perlu menggunakan sebaiknya kesediaan para pengguna sendiri memantau harga barang dan perkhidmatan.

"Sediakan tempat untuk mereka salurkan aduan dan laporan seperti portal di internet tetapi jangan pula tidak disusuli tindakan kerana rakyat mahu melihat ada kesan hasil bantuan yang mereka salurkan secara percuma kepada kerajaan," jelasnya.

Berhubung kenaikan gaji dan bonus untuk kakitangan awam, Amir berkata, beliau tidak menyokong kenaikan gaji kerana dikhuatiri hanya membawa kepada inflasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Gaji tinggi tidak berguna jika disusuli inflasi tinggi akibat tiada pemantauan dan pelaksanaan perundangan terhadap peniaga yang ingkar. Pemberian bonus adalah lebih baik kerana bukan berpanjangan dan sukar dijadikan alasan menaikkan harga barang," katanya.

Walaupun Belanjawan 2012 mungkin telah ada ketetapan, beliau tetap mencadangkan pemberian bonus terlebih dahulu dan disusuli pemantauan terhadap kawalan perbelanjaan dan inflasi sebelum diberikan insentif lain seperti kenaikan gaji.

"Perlu ditekankan di sini, transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan Belanjawan 2012 boleh dianggap berjaya jika wujud 'keberkesanan' dalam pelaksanaannya dan ini bermula dengan pemantauan rapi apa yang diumumkan atas kertas, dan apa yang dicapai akhirnya," tegasnya.

Ketua Jaringan Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman juga bersetuju aspek pelaksanaan amat penting dalam menentukan kejayaan Belanjawan 2012.

"Bergantung kepada apa yang diumumkan dalam belanjawan kali ini, aspek pelaksanaan dan pengurusan amat penting dalam mengelakkan ketirisan berlaku.

"Kerajaan boleh belanjakan berapa sekalipun mengikut keperluan dan keutamaan tetapi sukar mencapai sasaran jika pelaksanaan rancangan itu tidak dipantau dengan baik," tegasnya.

Berhubung kebarangkalian kenaikan gaji, beliau berharap kerajaan turut memberi fokus kepada skim simpanan pekerja dan bukan sekadar kemampuan berbelanja.

"Dari satu sudut, pekerja secara umumnya pasti gembira tetapi ini tidak bererti mereka mampu menyimpan kerana kos sara hidup mungkin terus meningkat bersama gaji yang lebih besar. Produktiviti kerja juga perlu diberi tumpuan kerana pekerja tidak produktif tetapi menikmati gaji tinggi akan memberi kesan kepada ekonomi,"jelasnya.

Oleh itu, Abdul Rahim lebih cenderung ke arah kenaikan gaji diberi berdasarkan prestasi kerja berbanding diberi sama rata kepada semua kakitangan awam agar kesannya dinikmati dalam jangka panjang dan bukan bersifat sementara sahaja.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga tidak semestinya memberi kenaikan gaji kerana insentif lain seperti potongan cukai pendapatan dan cukai lain juga dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Subsidi bagus untuk rakyat tetapi akan menambah defisit belanjawan tahunan negara. Oleh itu, insentif lain seperti potongan cukai lebih sesuai dan berkesan. Cabaran utama bagi kerajaan kini adalah mencari keseimbangan jangka panjang dan jangka pendek. Walaupun belanjawan ini dikaitkan dengan pilihan raya umum, defisit yang ditanggung juga perlu ditangani," katanya.

Memberi contoh cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Abdul Rahim menjelaskan cukai tersebut bagus untuk jangka panjang dan dapat mengurangkan defisit belanjawan tahunan negara.

"Namun, GST tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini bukan sahaja dari sudut politik malahan tetapi dari sudut ekonomi berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Semuanya bergantung kepada keseimbangan yang mahu dicapai sementara pemantauan pelaksanaannya akan menentukan keseimbangan dan sasaran Belanjawan 2012 memberi kesan positif kepada rakyat dan ekonomi negara," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2WcveXvSN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment