Monday, September 13, 2004

Mengurangkan cukai individu dan korporat


ARKIB : 12/09/2004

SEPERTI yang telah dijangka, tiada perubahan diumumkan mengenai cukai korporat dan perseorangan pada pembentangan Bajet 2005 sulung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat lalu.

Sebaliknya, Abdullah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2007 yang dilihat akan mengurangkan kadar cukai persendirian dan korporat, yang kini ditahap 28 peratus - lebih tinggi berbanding negara pesaing khususnya Singapura.

GST merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, cekap, telus dan berkesan.

Ia mampu meningkatkan kadar pematuhan cukai memandangkan syarikat perlu menyimpan akaun yang teratur. Langkah ini juga akan meningkatkan kutipan hasil.

Apabila GST diperkenalkan, kerajaan mempunyai ruang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan syarikat. Abdullah juga menekankan bahawa kerajaan akan memastikan golongan rakyat yang berpendapatan rendah tidak terbeban dengan pelaksanaan GST.

Barangan dan perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak akan dikenakan GST atau diberi pengecualian. Di samping itu, perniagaan kecil juga akan dikecualikan daripada cukai ini.

Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr. Jamil Hamali berkata, memang tepat pada masanya bagi kerajaan mengkaji semula Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata, rakyat dan industri terbabit memerlukan lebih banyak maklumat dan penerangan mengenai GST misalnya produk yang dimasukkan dan terkecuali.

``Saya gembira kerajaan tidak terus memperkenalkannya. Pasti akan ada reaksi daripada industri terbabit tetapi pendekatan cukai seumpamanya telah dilaksanakan dengan baik di negara-negara lain,'' ujarnya.

Pengerusi Biro Perhubungan Awam Institut Akauntan Malaysia (MIA), Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed berkata, pengenalan GST akan memberi suatu keadilan kepada golongan miskin.

Pada masa ini, ujar beliau, cukai ke atas barangan adalah standard, yang tentunya tidak menjadi masalah kepada golongan berada.

``Menerusi GST, cukai yang dikenakan adalah khusus ke atas barangan yang tidak mampu dibeli oleh golongan miskin. Bermakna, cukai ke atas barangan itu akan dikenakan ke atas pembeli yang berkemampuan,'' jelasnya.

Beliau menganggap pengenalan GST kelak akan menjadi reformasi kepada sistem percukaian negara sebagai persediaan Malaysia menjadi sebuah negara dunia pertama menjelang tahun 2020.

Bagi penganalisis kewangan, Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Harif, pengenalan cukai seumpamanya di Australia telah menyaksikan perdebatan dan hujah yang hebat antara kerajaan dengan industri.

``Ini kerana GST membebankan peruncit tahap terakhir dalam pusingan industri peruncitan,'' katanya.

Menurutnya, pelaksanaan sistem cukai seumpamanya di Australia, New Zealand dan Singapura telah berjalan dengan baik tetapi sememangnya Malaysia akan melalui tempoh pertukaran pendapat yang rancak mengenai pelaksanaan GST.

Bajet 2005 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri juga memperlihatkan fokus baru dalam menyusun arah tuju pembangunan, dianggap pemerhati sebagai cara Abdullah menjarakkan dirinya daripada cara Perdana Menteri sebelumnya, yang cenderung melaksanakan projek mega.

Pendekatan Abdullah menyaksikan beliau menumpukan kepada pembangunan luar bandar, serta golongan bawahan misalnya dalam dasar pembahagian projek menyenggara bangunan kerajaan khusus untuk pengusaha kecil, terutamanya kontraktor kelas F.

Paling utama ialah keupayaan kerajaan bertahan daripada memotong subsidi minyak, yang semakin membebankan kerajaan kesan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia yang kini melampaui paras AS$40 setong.

Nur Jazlan berkata, Bajet 2005 jelas tidak menumpukan kepada sektor korporat dan perkilangan yang mungkin disebabkan faktor Malaysia semakin kehilangan daya saing berbanding negara lain yang menawarkan kos operasi rendah.

``Tepat pada masanya juga bagi kerajaan memberi perhatian kepada aspek pembangunan sumber manusia, industri kecil dan sederhana, penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya.

``Jika dulu kerajaan giat membina keupayaan kapasiti, kini jelas Abdullah menumpukan perhatian kepada soal konsolidasi sumber-sumber asas negara,'' katanya.

Pembentangan empat strategi utama ekonomi Abdullah, kata Dr. Jamil, memperlihatkan kecenderungan Perdana Menteri untuk kembali kepada fundamental ekonomi, terutama dengan prinsip mengelak pembaziran.

``Bajet 2005 tiada yang memeranjatkan, malah kebanyakannya sudah dijangka. Ia lebih menyerupai suatu bajet kesinambungan tetapi ketara dengan gaya Abdullah,'' ujarnya.

Fokus Abdullah, katanya, terhadap pembangunan sumber manusia sangat menggembirakan tatkala aspek itu telah sekian lama diabaikan.

``Kesinambungan kejayaan memerlukan transformasi pendekatan dan proses serta pelaksanaan dasar yang strategik.

``Sistem kerja dan perundangan lapuk akan diperbaharui, budaya positif meningkatkan daya saing mesti diamalkan agar Malaysia seiring dengan negara maju,'' ujarnya.

Sementara itu, Dr. Amy Azhar berkata, walaupun Bajet 2005 tiada pemanis seperti lazimnya, kerajaan telah memberikan apa yang diharap oleh rakyat terutama perihal bonus kepada sektor awam.

``Sentuhan Perdana Menteri dalam soal menaikkan elaun kakitangan awam, perumahan, perhatian kepada kaum wanita, Orang Asli dan kurang upaya, adalah agenda jelas Abdullah yang menitikberatkan masyarakat bawahan,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0912&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz2Wd5bAQRk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment