Sunday, September 12, 2004

GST boleh realisasikan belanjawan berimbang


ARKIB : 11/09/2004

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Malaysia semakin hampir mencapai belanjawan berimbang dalam masa dua tahun lagi, menerusi pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang bakal dilaksanakan pada tahun 2007.

Pengarah Eksekutif Ernst & Young, Azhar Robert Lee berkata, dengan terlaksananya GST, kerajaan dapat menjana pendapatan selaras dengan perkembangan serta kemajuan ekonomi semasa.

``Reformasi sistem percukaian negara ini pastinya memberi lebih banyak keadilan kepada rakyat kerana cukai dikenakan hanya kepada mereka menggunakan barangan atau servis sahaja,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Namun begitu, beliau berkata, pihaknya berharap agar formula guna pakai GST tidak akan melibatkan barangan asas seperti makanan serta keperluan rumah yang turut melibatkan perbelanjaan golongan berpendapatan rendah.

Mengenai sasaran mencapai defisit 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun hadapan, jelas Azhar, pihaknya tidak nampak sebarang masalah untuk Malaysia mencapai unjuran berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya lagi, langkah kerajaan `membuka' pasaran modal kepada peserta dari luar negara juga akan membantu meningkatkan kecairan sekali gus merancakkan aktiviti penjualan dan pembelian saham di Bursa Malaysia.

Ujar beliau, pada masa yang sama, para pengurus dana tempatan akan lebih `terdedah' kepada pengetahuan serta kepakaran peringkat antarabangsa, yang terkenal sebagai aktif dan dinamik.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh seorang pengurus dana dari RHB Unit Trust Management Bhd. yang berkata, persaingan yang semakin meningkat akan menuntut para pengurus dana atau broker saham tempatan untuk lebih berusaha menjadi yang lebih baik.

``Namun begitu, tentunya ada risiko apabila tidak ramai di kalangan pengurus dana atau broker tempatan yang berada dalam keadaan yang cukup bersedia untuk menghadapi gelombang antarabangsa ini,'' tambahnya lagi.

Mengenai pelaksanaan GST pada tahun 2007, beliau berkata, ia mampu menampung `kerugian' yang dialami oleh kerajaan berikutan pengurangan dalam perolehan menerusi cukai pendapatan dan korporat pada tahun berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm#ixzz2Wd4WvN7I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment