Thursday, March 15, 2012

Bebanan GST sudah dirasai rakyat


Aslani M,15 Mac 2012
PASIR MAS, 15 Mac: Ramai tidak sedar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mana sebelum ini ditangguh kerajaan sebenarnya sudah dikenakan terhadap setiap urusniaga.

Pada Disember 2009 Rang Undang-Undang GST dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen. Bagaimanapun ditangguh pada Mac 2010.

GST diwujud bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus dicadang dikuatkuasa bagi meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, ketika makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini beliau terkejut apabila diberitahu cukai lebih 15 peratus dikenakan.

Katanya, harga makanan yang dipesan sebanyak RM39, namun cukai pula dikenakan sebanyak RM7 menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM46.

“Tidak ramai orang sedar cukai dikenakan kerajaan terhadap setiap apa yang dibeli, sama ada gula, beras, milo atau sebagainya.

“Sebelum ini ramai orang ingat hanya mereka yang berpendapatan besar sahaja dikenakan cukai pendapatan. Sebenarnya tidak, semua benda yang kita beli dikenakan cukai oleh kerajaan,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kasar di sini malam tadi.

Hadir sama anggota jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad, setiausaha, Suhaimi Daud, ketua penerangan, Zuraidin Abdullah, ketua pemuda, Rozi Muhamad dan Pegawai Penerangan Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani.

Biar pun kerajaan mengumumkan GST ditangguhkan namun banyak resit bayaran termasuk parkir kereta di pusat membeli belah sudah mengenakan GST 6 peratus.

Ustaz Idris pula percaya sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13, rakyat bakal dibebani dengan pelbagai cukai dan kenaikan harga barangan.

“Tuan-tuan mungkin masih lagi ingat cukai 6 peratus yang diumumkan kerajaan terhadap talian telefon prabayar akan dikenakan semula sekiranya BN mendapat mandat lagi.

“Begitu juga harga minyak dijangka naik sehingga 50 sen seliter. Langkah itu dibuat bagi mengutip semula duit yang dibelanjakan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 yang dibayar sekarang,” katanya.

Pada September 2011 kerajaan menangguh kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Idris banyak cadangan kerajaan bagi mengenakan cukai kepada rakyat ditangguh kerana BN tidak mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen.

Sebaliknya kata beliau Pakatan Rakyat menawarkan pelbagai program berkebajikan untuk rakyat dalam tempoh 100 hari sekiranya diberi mandat menguasai Putrajaya, antaranya menghapuskan tol.

Selain itu menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru dan sumbangan berupa imbuhan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun sebanyak RM1,000 setahun.

Beliau juga berkata, setiap pelajar yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi sekarang terpaksa menangung hutang antara RM40,000 hingga RM70,000.